top of page

Kerajaan beri ruang banteras korupsi, elak malapetaka kepada ekonomi rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar melambai kepada peniaga kecil dalam lawatan singkat beliau sebelum solat Jumaat
DS Anwar melambai kepada peniaga kecil dalam lawatan singkat beliau sebelum solat Jumaat

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak membanteras rasuah tanpa campur tangan politik.


Beliau berkata, kegagalan mengambil tindakan secara menyeluruh akan mengundang bala dan malapetaka besar terhadap ekonomi rakyat.


"Sebab itu saya minta fahaman ini diperluaskan.. daripada segi dasar, kita tidak campur (tangan) dan tentunya kita tidak senang dengan perkembangan ini (kes rasuah).


"Cuma kalau tidak ada tindakan tegas secara menyeluruh, kita akan menanggung bala dan malapetaka terhadap ekonomi rakyat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Seksyen 2, Wangsa Maju di ibu negara hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sekiranya RM10 atau RM20 juta diambil secara tidak sah, wang tersebut sepatutnya dikembalikan kepada kerja-kerja sebenar termasuk keperluan pasukan tentera di peringkat bawah atau disalurkan kepada projek-projek kecil yang memberi manfaat terus kepada rakyat.


"Jadi perkara ini tentunya kita ambil perhatian. Saya sedang menunggu laporan sama ada terdapat beberapa kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan yang sedia ada," katanya.


Sementara itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan yang mengeluarkan kenyataan tegas menentang korupsi.


"Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin yang telah mengeluarkan kenyataan yang sangat jelas.


"Kita perlu meneliti, menyusun semula dan buat sementara waktu membekukan kelulusan perolehan ATM, PDRM atau mana-mana pihak sehingga kita memastikan proses tersebut dipatuhi sepenuhnya," ujarnya lagi.


Bagaimanapun, PM berkata imej pasukan keselamatan tetap berada dalam keadaan baik. Hanya segelintir yang menyeleweng dan tindakan sedang diambil ke atas mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page