
Kerajaan Perpaduan terus mencari jalan bagi meringankan beban kos sara hidup dihadapi rakyat di negara ini.
Terbaharu, kerajaan melalui Bahagian Kawalselia Padi dan Beras dilapor akan memberi diskaun beras import kepada peniaga bagi menstabilkan harga makanan.
Ketua pengarahnya, Azman Mahmood berkata, ia langkah sementara sebelum isu kekurangan beras putih tempatan dijangka dapat diatasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Dipetik Harian Metro, bagi mengurangkan kesan peningkatan harga beras import, bahagian bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu bersetuju memberikan 103 lesen borong kepada pemborong kecil .
Inisiatif itu membolehkan pengusaha makanan bernaung di bawah persatuan perniagaan makanan dapat menikmati harga belian beras putih import (BPI) pada harga borong iaitu RM160 untuk 50kg (harga pintu gudang).
"Kita juga bersetuju beras Basmathi adalah beras istimewa dan tidak tertakluk kepada harga borong BPI. Ia tertakluk kepada harga apungan yang ditentukan oleh pasaran semasa.
"Dari segi langkah intervensi, kita juga menetapkan bekalan di 41 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta 1,400 outlet Lembaga Pertubuhan Peladang di seluruh negara.
"Perlu difahami, tidak ada isu mengenai bekalan dan kita sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini demi kepentingan semua," katanya menurut laporan itu.
Azman berkata, pihaknya berharap dengan langkah intervensi menerusi kerjasama antara agensi, orang ramai boleh mendapatkan bekalan beras tempatan di outlet sedia ada.