Kerajaan berhasil menukar 2,210 kilometer paip lama jenis asbestos
- Suara Keadilan
- 16 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan telah menukar sebanyak 2,210 kilometer (km) paip jenis simen asbestos di seluruh negara, kata Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, penyelenggaraan paip terletak di bawah tanggungjawab operator air, iaitu syarikat yang dilantik di bawah kerajaan negeri untuk mengurus bekalan air.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ir Ts Zahir Hassan [PH-Wangsa Maju] mengenai perancangan terperinci termasuk garis masa untuk menukar baki paip air lama jenis AC sepanjang 39,752 kilometer atau 28.7 peratus di seluruh negara.
"Sudah pasti daripada segi keupayaan mereka itu akan menentukan seberapa pantas atau kesungguhan kita untuk menukar kesemua AC yang masih ada di dalam negara ini.
"Soalan YB (Zahir Hassan) itu spesifik, saya jadualnya. Tapi secara keseluruhan dalam tempoh 2020 sehingga 2024, untuk seluruh negara kita telah menukar sebanyak 2,210 kilometer paip AC.
"Untuk pecahan mengikut negeri-negeri, saya akan bekalkan YB jawapan bertulis," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Untuk rekod, paip lama jenis asbestos digunakan pada era 1990an lalu bagi mengurangkan kos pemasangan baharu. Bagaimanapun paip tersebut mempunyai masalah kebocoran yang tinggi berbanding jenis besi.
Dalam pada itu, Akmal turut menjawab pertanyaan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai kesediaan kementerian melaksanakan projek rintis dan pelaburan dalam teknologi rawatan air bukan konvensional, serta status terkini pelan penswastaan kerjasama awam-swasta (PPP) untuk pembangunan loji rawatan air baharu yang diumumkan sebelum ini.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, menjelaskan pihak kementerian terbuka terhadap penggunaan teknologi baharu, namun kos akan menjadi faktor utama yang menentukan sejauh mana teknologi tersebut dapat diperkenalkan, walaupun beberapa projek perintis sedang dijalankan.
"Dari segi penghasilan air pulih guna, sudah pasti cabarannya tentang bagaimana untuk kita mencari keperluan (demand) oleh mereka yang mahu menggunakan air pulih guna ini.
"Jadi di negara ini contohnya, pusat data antara pengguna air yang terbesar. Untuk tujuan air pulih guna ini, ia akan memenuhi syarat ekonomi kitaran. Kementerian telah menyasarkan sebanyak 118 juta liter air sehari untuk kita gunakan (air pulih guna ini) menjelang 2030.
"Buat masa ini, memang kita telah ada satu projek di Johor dengan kerjasama antara IWK dan Johor Special Water iaitu unit di bawah kerajaan negeri yang membekalkan air pulih guna ke pusat data di sana.
"Selain itu, kita ada juga di bawah Amazon Web Services (AWS) yang membekalkan air pulih guna untuk fasiliti mereka di Cyberjaya dan Semenyih," ujarnya lagi.





