
Kerajaan Perpaduan memilih untuk beransur ansur mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kempen anti rokok akan lebih digiatkan termasuk ke atas rokok elektronik atau vape.
Sementara itu, katanya, vape akan mula dicukai untuk mendapatkan hasil bagi merawat pesakit akibat rokok atau rokok elektronik.
"Ada kewajaran kita ambil tindakan dan melatih (kempen ati rokok), tetapi ambil tindakan yang ekstrem mengharamkan vape atau rokok itu agak drastik dan tidak mampu dihadapi mana mana negara di dunia. Itu sebab ramai orang memilih untuk merokok walau kita keluarkan kempen
"Sementara kita kempen kesan kesan negatif, kita teruskan percukaian ini sekadar tidak menjadikan bahan itu (cecair vape) tersebar luas dan murah.
"Saya setuju badan kesihatan semuanya tanpa kecuali menentang keras soal ini (merokok). Pada hemat kerajaan, buat masa ini kita sukar mengharamkan tetapi kita boleh meningkatkan kesedaran," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN - Kuala Langat) yang mahu tahu apakah sebabnya kerajaan tidak meluluskan segera undang undang penamat rokok atau Generational End Game yang dirancang.
Tambahnya dengan pengenaan undang undang menghadkan kawasan merokok sekarang, keadaan sudah lebih baik daripada sebelumnya dengan tempat awam dan kawasan tertentu dilarang merokok sama sekali dan kempen akan diperluaskan.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching), Anwar berkata kerajaan tetap akan membawa undang untuk generasi penamat rokok ke parlimen cuma terdapat beberapa perkara yang akan diubah terlebih dahulu dan akan dibentangkan secepat mungkin apabila dipersepakati.
"Apakah kerajaan bertegas akan memperkenalkan undang undang (Generational End Game), saya jawab jelas akan memperkenalkan. Kelewatan itu saya mohon maaf kerana ramai minta dikaji semula beberapa peruntukan, bukan menolak sama sekali.
"Keduanya, tentang hasil 50% (cukai) setakat ini yang diputuskan oleh kerjaaan apa apa hasil cukai vape ini 50% akan dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan untuk membantu langkah pemulihan kesihatan tetapi nak panjangkan kepada yang lain itu kita akan pertimbangkan semula," katanya.