Kerajaan bentang Kertas Putih Penuaan Kebangsaan tahun ini


Kerajaan bakal membentangkan Kertas Putih Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (National Ageing Blueprint – NAB) 2025–2045 di Parlimen tahun ini bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam mendepani status negara tua menjelang 2048.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, NAB menggariskan lima teras strategi utama yang merangkumi aspek ekonomi makro dan fiskal; pendidikan, kemahiran dan tenaga kerja; kesihatan sepanjang hayat; perlindungan sosial; serta penjagaan jangka panjang.
Menurut beliau, pembentangan kertas putih itu penting bagi memastikan penyesuaian dan pelaksanaan strategi di peringkat Persekutuan, kementerian serta kerajaan negeri dapat diselaraskan secara menyeluruh dan bersepadu.
"Fokus utama NAB turut diterjemahkan melalui strategi dan inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran penuaan penduduk.
"Antara strategi yang akan dilaksanakan termasuk memberi keutamaan kepada peningkatan produktiviti dan daya saing negara, persediaan menuju negara tua, serta reformasi pasaran buruh seperti meningkatkan penyertaan pekerja berusia, wanita dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Rabu.
Sementara itu, beliau turut mengulas unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kadar kesuburan nasional dijangka merosot secara ketara kepada 0.7 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun menjelang 2050.
Akmal Nasrullah berkata, penurunan kadar kesuburan daripada 1.6 anak pada 2024 itu dijangka memberi kesan langsung kepada pengecilan nisbah penduduk usia bekerja, sekali gus menjejaskan potensi pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.




Comments