top of page

Kerajaan belum cadang kembali kepada GST

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Mar 5, 2024
1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Kementerian Kewangan pada ketika ini tidak bercadang melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tahap pendapatan dan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.


"Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST kerana ia cukai penggunaan yang berasas luas, dan dengan itu bukan masa sesuai untuk melaksanakannya.


"Ini memandangkan rakyat terutamanya berpendapatan rendah sedang menghadapi cabaran kos hidup. Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5 peratus, tetapi bagi makanan dan minuman cukai hampir lima peratus.


"Kategori ini yang lebih dirasai rakyat jelata dan ini adalah antara faktor dikekalkan kadar cukai makanan (Cukai Perkhidmatan) sebanyak 6%," katanya pada waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukti Gantang) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan semula percukaian GST.


Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kenaikan Cukai Perkhidmatan kepada 8% berbanding 6% berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.


Bagaimanapun, peningkatan tersebut tidak melibatkan perkhidmatan asas rakyat antaranya perkhidmatan air, makanan dan minuman, perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, logistik, telekomunikasi serta parkir kenderaan.


Justeru katanya, bagi memenuhi keperluan meningkatkan hasil negara, kerajaan mengambil pendekatan berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada kumpulan yang mempunyai lebih kemampuan.


"Secara dasarnya, apa-apa keputusan kerajaan akan memastikan sebarang langkah cukai yang dilaksanakan tidak memberi kesan langsung kepada golongan rentan dan kebajikan mereka akan terus dilindungi," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page