Kerajaan bakal perkenal ABPB, perkasakan golongan menengah Bumiputera


Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan pada ketika ini memberi tumpuan khusus kepada golongan pertengahan Bumiputera untuk diperkasakan bagi menjana ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu mampu meningkatkan keupayaan golongan tersebut termasuk mengurangkan kebergantungan golongan penengahan (middle class) kepada pekerjaan bergaji sahaja.
"Tumpuan juga (diberikan kepada) penskalaan, pembangunan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi menjawab soalan Zahir Hassan (PH – Wangsa Maju) yang ingin tahu hala tuju dan pendekatan baharu yang dirancang oleh kerajaan susulan penganjuran Kongres Ekonomi Bumputera 2024 (KEB2024) dalam usaha melonjakkan tahap sosio ekonomi Bumiputera.
Mengulas lanjut mengenai komitmen kerajaan, Rafizi berkata, penyertaan golongan pertengahan Bumiputera dalam pelbagai sektor dan bidang akan diberi perhatian.
Ia susulan pendapatan golongan penengah Bumiputera, katanya, tidak setara berbanding golongan pertengahan bukan Bumiputera.
"Untuk menggalakkan kelas pertengahan Bumiputera mencipta nilai, maka kita perlu beralih dari mobilisasi kapital yang bergantung kepada agensi kerajaan kepada mobilisasi kapital yang berkitar di kalangan golongan profesional, menengah dan atasan Bumiputera.
"Sebab itu tumpuan sepatutnya lebih kepada membina ekosistem, dari segi undang-undang, insentif percukaian, pembinaan bakat pelaburan di kalangan kelas tengah profesional," kata Rafizi.
Dalam pada itu bagi pelan jangka panjang, beliau berkata, Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera (ABPB) yang mengandungi pelan khusus pembangunan ekonomi kaum itu akan dilancarkan pada Jun ini.
Katanya, hasil perbincangan dan intipati yang diusulkan sepanjang KEB 2024 akan diterjemahkan ke dalam agenda baharu berkenaan.
"Pelan ABPB yang lebih segar dan inklusif tanpa meminggirkan peranan oleh semua etnik di Malaysia akan dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang," ujarnya.




Comments