top of page

Kerajaan bakal anjur himpunan khas rai kepulangan aktivis GSF

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read

DS Anwar berkongsi rakaman perbualan bersama aktivis GSF yang berada di Istanbul, Turkiye. Video FB Anwar
DS Anwar berkongsi rakaman perbualan bersama aktivis GSF yang berada di Istanbul, Turkiye. Video FB Anwar

Oleh: Azuan Ab Rahman


Satu himpunan khas bakal dianjurkan bagi meraikan kepulangan kesemua 23 ‘wira’ dan ‘wirawati’ negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, himpunan itu bukan sahaja satu tanda penghargaan kepada keberanian mereka tetapi bagi terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza.


"Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur, kita juga akan cuba sesuaikan masa, pada waktu malam, kita buat himpunan sedikit untuk (mereka) kongsikan pengalaman, bagus juga," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.


Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut berkongsi rakaman perbualan bersama aktivis terbabit yang kini berada di Istanbul, Turkiye.


Dalam perbualan itu, beliau yang juga merupakan Penaung Sumud Nusantara menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.


"Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan," kata beliau.


Aktivis Malaysia yang dibebaskan dari tahanan rejim Zionis sedang diselaraskan untuk transit di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma semasa dalam tahanan.


Kesemua mereka di jadual berlepas pulang ke tanah air hari ini.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page