Kerajaan BN/Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera menjalin kerjasama dengan pembangkang bagi melicinkan strategi melawan pandemik Covid 19.
Ketua Cabang KEADILAN Tanjong Karang, Yahya Mat Sahri berkata, kabinet baharu yang akan dibentuk nanti perlulah mengambil kira langkah komprehensif untuk berdepan masalah pandemik selain menyelesaikan kemelesetan ekonomi yang mencengkam kehidupan rakyat.
"Kami mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri di atas pelantikan sebagai PM ke-9 yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Kami akur dan patuh kepada keputusan tersebut bagi memastikan sistem Demokrasi Berparlimen kita yang berteraskan kepada prinsip Raja Berperlembagaan berjalan menurut lunas undang-undang.
"Namun demi mengharmonikan suasana, kerajaan baharu ini perlulah mengambil iktibar daripada nasihat Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan bekerjasama dengan pihak pembangkang supaya 'yang menang tidak semua manakala yang kalah tidak kalah semua'," katanya.
Sementara itu, buat aktivis KEADILAN, Yahya yang juga bekas perancang utama strategi menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu berkata, pertempuran politik melawan BN/PN dilihat masih panjang dan akan berlarutan sehingga PRU 15.
Oleh itu, nasihat beliau, aktivis parti dan Pakatan Harapan perlulah bersedia dan bekerja keras mulai sekarang.
"Kami ingin menegaskan bahawa kesetiaan kami terhadap Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berbelah bahagi.
"Kami juga menyeru semua jentera parti di setiap Cabang agar bekerja lebih gigih dan terus menyusun gerak kerja memperkasakan parti untuk menghadapi PRU ke-15," katanya lagi.
Comments