Kerajaan akan lipatganda usaha basmi kemiskinan tegar - PM
- Suara Keadilan
- Feb 23
- 1 min read

Usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu lebih ramai rakyat keluar dari belenggu kemiskinan agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, bermaruah serta sejahtera.
"Kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi ia adalah soal maruah dan keadilan sosial.
"Lantaran itu, sedari awal saya menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan sama sekali berpeluk tubuh melihat rakyat terus dihimpit kemiskinan," katanya dipetik.
Dalam pada itu Perdana Menteri menjelaskan, dengan pelbagai dasar dan kebijakan yang menyeluruh, program bantuan bersasar, dan usaha bersepadu di peringkat akar umbi, Kerajaan akan terus memastikan golongan yang benar-benar memerlukan dibantu dan diberi peluang keluar daripada kemiskinan.
Usaha ini jelasnya bukan sekadar memberikan bantuan sementara, tetapi memastikan setiap keluarga mempunyai peluang untuk berdikari, mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta, NGO, dan seberapa ramai individu yang prihatin untuk bersama-sama dalam usaha murni ini.
"Dengan semangat kebersamaan yang utuh, kita mampu mencapai Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua," jelasnya.
Comments