Kerajaan ada duit, beri peruntukan khas untuk pendidikan atas talian



Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa Kementerian Pendidikan mendapatkan peruntukan khas bagi membantu guru dan murid mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Beliau berkata, peruntukan khas itu amat diperlukan kerana rata-rata murid dan pelajar didapati tidak mempunyai capaian internet dan alat peranti yang mencukupi sejak sesi persekolahan bermula minggu lepas.


"Peruntukan khas itu boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan membeli peranti seperti komputer riba atau telefon pintar selain menyediakan kemudahan akses internet kepada pelajar terutama keluarga B40 atau M40.


"Kerajaan ada duit bukan tidak ada duit. Kalau tidak ada peruntukan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin boleh minta luluskan peruntukan khas pendidikan di Parlimen dan ahli-ahli Parlimen akan sepakat luluskannya," katanya.


Pada masa sama, Hassan berkata peruntukan khas boleh dibincangkan di sidang Parlimen namun ketika ini tidak dapat dilakukan kerana darurat.


"Ketika ini Parlimen digantung jadi macam mana ahli-ahli Parlimen mahu membincangkannya? Kalau tak setiap Selasa dan Khamis di Parlimen kita boleh tanya atau cadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Mohd Radzi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.


"Masalah rakyat semasa PKP bukan sahaja makan minum tetapi juga isu pendidikan. Kerajaan luluskan peruntukan RM35 juta untuk bina tiga dewan baru-baru ini walaupun kawasan itu dah ada empat dewan. Jadi tidak timbul masalah peruntukan," katanya.


Hassan turut mempersoalkan kesediaan Kementerian Pendidikan melaksanakan PdPR dengan berkesan sepanjang tempoh PKP.


"Kalau masa tahun pertama kita memang kelam-kabut tetapi sekarang kita sudah masuk tahun kedua berdepan Covid-19. Saya nak tanya apa persiapan dibuat KPM dalam setahun untuk laksanakan pendidikan digital, apa perancangan yang dibuat?


"Jawapannya tidak ada. Apa software atau perisian, program dan aplikasi yang ada untuk digunakan dari Tahun Satu hingga Enam dan software Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima? Adakah guru dilatih dan diberi kursus untuk menjalankan pendidikan digital," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio