Ratib kerajaan Pakatan Harapan (PH) 22 bulan yang dikongsi BN - PN tidak seharusnya meracuni minda rakyat.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, ratib berkenaan bagi insan waras sepatutnya ditolak kerana mengarut.
Katanya, PH masuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 lalu seperti kontraktor mendapat tender kerja kerja pembaikan. Namun apabila masuk ke premis yang ditinggalkan BN, hampir semua item perlu diganti baharu.
"Pada 2018, PH menang satu kontrak tender. Kawan kawan kita yang jadi Menteri bila mereka masuk, ingatkan masalah jubin rumah yang rosak atau, kipas siling rosak. Tetapi bila kita belek, nak baiki jubin rupanya foundation dah rosak. Tengok siling dah nak jatuh. Pendawaian litar pintas.
"Itulah kerja kawan kawan kita yang kita masuk tender. Kita ingat mahu lakukan beberapa perkara, rupa rupanya banyak yang terpaksa kita lakukan.
"Kemudian kita 22 hanya ada bulan, digagalkan oleh para pengkhianat. Tetapi sekurang kurangnya PH tak merosakkan rumah bernama Malaysia seperti mereka yang mentadbir 60 tahun," katanya dalam ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Pandan malam tadi.
Kata Pengarah Komunikasi PH itu, semua masalah berkenaan bukan cerita yang direka reka oleh PH tetapi telah dibuktikan oleh pelbagai siasatan kerajaan dan suruhanjaya bebas.
PH, katanya bukan hanya melakukan kerja perbaikan tetapi dikerah menyelamatkan syarikat kerajaan yang kronik dan menumpuk hutang berbilion ringgit.
"Apa peninggalan mereka? Hutang 1MDB yang hanya langsai pada 3 tahun selepas 'merpati' keluar penjara Kajang. Dia keluar 12 tahun dari sekarang, 2034. Tiga tahun selepas itu, setiap tahun kita bayar berbilion hutang, barulah selesai. Itulah hadiah merpati kepada rakyat Malaysia. Jangan lupa.
"Kita tengok Tabung Haji rosak waktu kita masuk dulu. Kita tengok Tabung Angkatan Tentera rosak. Felda rosak. Kita masuk kita tengok semua ada masalah," katanya.
Justeru, Fahmi mengingatkan tugas rakyat Malaysia pada 19 November ini adalah untuk memenangkan kembali PH bagi menyambung kerja kerja pembaikan pentadbiran dan perekonomian Malaysia yang terbengkalai selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020 lalu.
Comments