Keputusan pemilihan MPP dijangka seawal 9 malam ini
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bagi penggal 2025-2028 dijangka diumumkan seawal jam 9 malam ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, keputusan mungkin diumumkan sejurus selesai ucapan dasar Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional.
"Kita akan cuba umumkan keputusan sekitar selesai ucapan Presiden bergantung kepada kelancaran proses pengiraan undi dan penyelesaian isu teknikal, sekiranya ada," katanya dipetik.
Dr Zaliha berkata begitu pada sesi taklimat mengenai proses perjalanan Kongres Nasional dan pemilihan peringkat pusat kepada media.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi JPP, Dr Fuziah Salleh memaklumkan bahawa seramai 251 calon bertanding dalam pemilihan peringkat pusat kali ini.
Jumlah itu merangkumi 104 calon bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan 62 calon bagi Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN.
Bagi pemilihan kali ini, seramai 22,809 perwakilan layak mengundi. 13,060 perwakilan layak secara dalam talian dan 9,829 secara fizikal.
"Untuk pengundian secara fizikal, seramai 6,990 akan mengundi di Johor Bahru, manakala 1,120 di Sabah dan 919 di Sarawak," katanya.
Pengundian fizikal peringkat pusat di jadual berlangsung di dua lokasi utama di Johor Bahru iaitu Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay.