
Keputusan tidak rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 mulai diumum hari ini dengan negeri Melaka yang pertama disenaraikan kira kira pada pukul 10 pagi tadi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, keputusan tersebut merangkumi semua undi termasuk pemilihan semula cabang yang diadakan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah .
"Hari ini mulai 29 Mei 2022, keputusan tidak rasmi cabang-cabang akan dipamerkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 seperti mana yang telah dijadualkan.
"Keputusan yang bakal diumumkan ini masih tertakluk kepada keputusan aduan dan bantahan yang telah diterima oleh JPP yang masih dalam proses siasatan oleh Panel Aduan JPP," katanya.
Keputusan rasmi, menurut Dr Zaliha hanya akan diumumkan pada Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan pada Jun ini.
"Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres KEADILAN yang telah dijadualkan akan berlangsung pada 25 hingga 26 Jun 2022 ini.
"Keputusan yang akan diumumkan merupakan keputusan muktamad bagi Pemilihan Keadilan 2022," katanya lagi.