top of page

Keputusan Pas selari pendirian PH Perlis, kekalkan kerajaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 2 min read

Banyak pihak berharap DUN Perlis kekal tenang, tiada perubahan kerajaan berlaku
Banyak pihak berharap DUN Perlis kekal tenang, tiada perubahan kerajaan berlaku

Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Pas semalam memaklumkan tiga ADUNnya di Perlis telah terhenti keahlian parti masing-masing berkuatkuasa serta merta.


Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Akhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).


Parti itu memutuskan demikian selepas mereka didapati bersekongkol dengan lima ADUN Bersatu yang dilaporkan telah menyerahkan Akuan Berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar, Shukri Ramli.


Dalam kenyataan semalam, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, keahlian mereka terhenti berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (pindaan 2025).


Fasal berkenaan merujuk kepada tindakan yang menyebabkan keanggotaan daripada parti itu terhenti, termasuklah menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.


Apabila keahlian terhenti, ia menyebabkan kerusi DUN yang mereka pegang diisytiharkan kosong dan perlu diadakan pilihanraya semula.


Sehari sebelum itu, berikutan kemelut yang berlaku di negeri berkenaan, PH Perlis telah membuat ketetapan untuk menyatakan sokongan (bukan sertai gabungan) supaya Pas terus mentadbir negeri sehingga habis penggal.


Hasil mandat rakyat


PH Perlis menyatakan sokongan kepada Pas itu bertujuan demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Penulis - Noraini Nordin
Penulis - Noraini Nordin

"PH Perlis ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perlis yang terbentuk pada hari ini adalah hasil mandat jelas rakyat melalui proses demokrasi yang sah.


"Mandat besar yang diberikan oleh rakyat itu wajib dihormati dan dipelihara. Ia bukan ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.


"Sehubungan itu, PH Perlis menyatakan sokongan agar Kerajaan Negeri sedia ada diteruskan dan kekal memerintah sehingga tamat penggal," kata gabungan itu pada satu kenyataan semalam.


MB Perlis selamat pada waktu ini


DUN Perlis menpunyai 15 kerusi dan 14 daripadanya dimenangi oleh PN, manakala PH mempunyai satu kerusi.


Daripada 14 kerusi yang dimiliki PN, 9 dipunyai Pas dan lima oleh Bersatu.


Dalam hal ini, adalah diyakini keputusan Pas memaklumkan kedudukan tiga Adunnya terhenti itu adalah bertujuan memastikan kerajaan negeri terus stabil dan damai.


Buat sementara, hasrat untuk menukar kedudukan Shukri boleh dikira sudah terhenti dan disertai dengan sokongan PH Perlis kepada Pas, kedudukan Kerajaan Negeri boleh dikira tenang semula.


Selepas ini Speaker Perlis dijangka akan mengisytiharkan kekosongan kerusi di tiga DUN berkaitan, yang dinanti seterusnya hanyalah bila pilihan raya kecil akan dilangsungkan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page