
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpandangan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib Razak dilihat sebagai satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia.
Ini selepas barisan kehakiman mendapati bekas perdana menteri bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
"Bila disoroti sejarah isu ini, masalah urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2011.
"Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada PH dan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14
"Majlis Presiden merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang
terlibat di dalam proses ini, termasuk mantan Peguam Negara yang telah memulakan proses perundangan," kata kenyataan gabungan itu hari ini.
Majlis Presiden PH juga akan memastikan salah laku dan penyelewengan oleh BN tidak akan berulang pada masa akan datang.
"Majlis Presiden berpendirian reformasi institusi secara menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar yang berlaku pada zaman pentadbiran BN tidak lagi berulang.
"Ini hanya boleh dilakukan dengan pengembalian mandat rakyat ke tempatnya," kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEADILAN), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).