top of page

Keputusan mahkamah ke atas Najib: Hormati kedaulatan undang undang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 31, 2025
  • 2 min read

Keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu melibatkan bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak disifatkan sebagai bukti bahawa kedaulatan undang-undang ditegakkan di Malaysia, sekali gus wajar dihormati oleh semua pihak.


Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, keputusan tersebut berlaku dalam kerangka perundangan negara dan mencerminkan pelaksanaan rule of law yang seharusnya dipelihara secara adil, bebas dan berintegriti.


"Keputusan terhadap bekas PM Datuk Seri Najib Tun Razak, telah diketahui umum. Ia proses yang berlaku dalam kerangka perundangan negara. Rule of Law sedang berjalan di Malaysia, dan kita berharap ia terus dipelihara serta dilaksanakan dengan adil, bebas dan berintegriti demi kedaulatan undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, AMANAH memahami perasaan sedih, kecewa dan hiba yang dirasai oleh ahli serta penyokong UMNO susulan musibah yang menimpa pemimpin utama parti tersebut.


"Kita memahami perasaan ahli-ahli dan penyokong UMNO apabila pemimpin mereka ditimpa musibah sedemikian rupa. Perasaan sedih, kecewa dan hiba itu adalah perasaan manusiawi.


"Apa yang berlaku seharusnya menjadi pengajaran besar kepada semua parti politik, termasuk kepada kita dalam Parti Amanah Negara sendiri," katanya.


Beliau turut mengimbas sejarah penubuhan UMNO sejak 1946 yang lahir daripada pengorbanan rakyat demi perjuangan kemerdekaan, namun mengakui realiti politik berubah apabila sesebuah parti memerintah terlalu lama.


"Apabila berkuasa, pemimpin sering berdepan tekanan untuk menjaga parti, menyantuni penyokong, dan mempertahankan kedudukan. Dalam suasana itulah, perebutan jawatan, kedudukan dalam GLC, GLIC dan pelbagai institusi lain menjadi kebiasaan.


"Dari situ, politik wang mula berakar, dan akhirnya kita menyaksikan kejatuhan UMNO-Barisan Nasional pada tahun 2018," katanya.


Menurut beliau, penyakit yang menimpa parti pemerintah itu bukan eksklusif kepada UMNO, sebaliknya boleh menular kepada mana-mana parti termasuk AMANAH apabila berada dalam kerajaan.


"Jika kita sebagai parti pemerintah gagal mengurus kewangan, gagal mengawal perebutan jawatan dan kedudukan, tidak mustahil kita akan mengalami keadaan yang lebih parah daripada parti-parti yang telah lama memerintah sebelum ini," katanya.


Mohamad Sabu juga mengingatkan ahli-ahli AMANAH agar tidak menambah luka dengan mengutuk atau menghina parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula.


Selain itu, beliau turut menyeru agar pergolakan yang sedang dialami parti-parti lain dijadikan tauladan, bukannya bahan cercaan.


"Sebagai Presiden parti yang akan berakhir tempoh jawatan apabila pemilihan berlangsung dalam konvensyen, saya ingin mengingatkan bahawa AMANAH sebenarnya lebih sukar diuji ketika memerintah berbanding ketika menjadi pembangkang. Godaan kuasa, harta, pangkat dan darjat jauh lebih kuat apabila kita berada dalam kerajaan


"Dalam kita menyaksikan pergolakan parti-parti lain, tanggungjawab kita ialah membina kekuatan dalaman, memperkukuh perpaduan dalam AMANAH, serta mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan—demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page