top of page

Keputusan kes 1MDB: Aliran wang ke akaun Najib tidak disangkal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 3 min read

ree

Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai kes korupsi terbesar dalam sejarah negara dan antara kes kleptokrasi terburuk yang pernah direkodkan di peringkat antarabangsa, susulan bukti aliran wang berbilion ringgit yang tidak dapat disangkal.


Pengulas politik, Liyana Marzuki berkata, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sendiri sejak 2016 telah melabelkan skandal 1MDB sebagai kes kleptokrasi paling teruk yang pernah mereka saksikan.


"Bagi ramai pengamal undang undang tahu kesnya kuat. Bila kes AMLA, yakni kesalahan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram ini didakwa. Aliran wang (money trail) jadi kekuatan utama.


"Jika aliran wang itu tidak boleh disangkal. Dan tiada alasan konkrit untuk jelaskan. 80% kes itu akan melekat," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, perkara itu terbukti apabila aliran tunai sebanyak RM2.3 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri ketika itu tidak pernah disangkal oleh pihak pembelaan.


"Rekod aliran tunai menunjukkan (ia digunakan) untuk perbelanjaan peribadi dan keluarga. Termasuk bercuti di luar negara. Banyak dibelanjakan untuk isterinya juga. Sebahagiannya lagi untuk pemusatan kuasa," katanya.


Liyana menjelaskan bahawa bukti perbelanjaan dana awam tersebut turut menunjukkan wang digunakan bagi mengukuhkan pengaruh politik, termasuk pengagihan kepada ahli parti, penyokong tegar, propagandis serta pasukan media.


"Money trail dan bukti PM berbelanja duit rakyat ini langsung tak disangkal dan dipatahkan," tegasnya.


Dalam pada itu, beliau juga mengkritik strategi pembelaan dalam kes 1MDB yang menurutnya lebih bersifat membentuk persepsi awam berbanding berhujah berdasarkan kekuatan bukti di mahkamah.


Katanya pasukan pembelaan bertukar taktik dalam kes 1MDB. Tiada lagi naratif Najib didakwa ditipu Jho Low sebagaimana pembelaan dalam kes SRC International yang berakhir dengan Najib didapati bersalah beberapa tahun lalu.


Tambah beliau, alasan derma Raja Arab yang sering dimainkan di luar mahkamah untuk kes 1MDB itu juga gagal dibuktikan secara sah di dalam perbicaraan.


"Dalam mahkamah video tidak dijadikan bukti, tiada surat rasmi dari Menteri (Arab Saudi). Tiada langsung usaha nak dapat bukti dari saluran rasmi," jelasnya.


Oleh itu, Liyana menegaskan keputusan mahkamah yang menolak pembelaan tersebut adalah munasabah, memandangkan latar belakang dan pengalaman tertuduh sebagai seorang pemimpin negara.


"Hakim sangat betul bila mengatakan tidak masuk akal seorang pemimpin yang punya latar belakang akademik yang baik dan berpengalaman dalam politik, ditipu sebegitu sekali."


Mengulas pengajaran daripada penutup saga 1MDB, Liyana menekankan bahawa kuasa adalah amanah yang datang bersama tanggungjawab besar.


"Kalau the invincible Najib Razak boleh dipenjara, apalah sangat pemimpin lain dan keluarga mereka.


"Makanya, perlu berpada pada. Kepada orang parti, kena ingat ini kes yang dekat dengan pengundi PRU14 lalu. Empat juta pengundi BN bertukar arah sejak 2011. Tumbang anda (kerajaan BN) PRU14 lalu sebahagian besarnya kerana Najib dan 1MDB," katanya.


Beliau turut menyeru rakyat agar mengambil iktibar dan terus setia kepada negara serta institusi, bukan kepada individu atau kepentingan politik sempit.


"Saga 14 tahun ini akhirnya berakhir. Moga ia menjadi tauladan agar Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang ikhlas dan berwawasan," katanya lagi.


Semalam, bekas Perdana Menteri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan didenda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi Putrajaya.


Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.


Sequerah menyampaikan hukuman tersebut pada pukul 9 malam selepas mendapati Najib bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kuasa untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.


Bagi setiap empat tuduhan menggunakan kedudukan, hakim memerintahkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib dan lima tahun penjara bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page