Keputusan Asheeq Ali keluar parti bersifat peribadi - KEADILAN Batu
- Suara Keadilan

- May 16
- 1 min read

KEADILAN Cabang Batu menegaskan bahawa keputusan bekas Ketua Cabangnya, Saudara Asheeq Ali (gambar) untuk meninggalkan parti adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian keseluruhan kepimpinan cabang tersebut.
Dalam satu kenyataan media, Ahli Jawatankuasa KEADILAN Cabang Batu menjelaskan bahawa cabang itu kekal teguh dan komited meneruskan perjuangan seperti biasa.
"KEADILAN Cabang Batu menjelaskan bahawa segala keputusan dan kenyataan yang dibuat oleh beliau adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian KEADILAN Cabang Batu secara keseluruhan," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, seluruh pimpinan cabang terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan di peringkat negeri dan pusat.
"Seluruh pimpinan KEADILAN Cabang Batu kekal teguh, komited dan yakin di bawah kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Datuk Azman Abidin serta kepimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelas kenyataan berkenaan.
Mengulas lanjut, KEADILAN Cabang Batu memaklumkan bahawa pentadbiran dan gerak kerja cabang akan terus diperkukuhkan di bawah pimpinan Timbalan Ketua Cabang, Puan Idawatie binti Pariman.
"Pentadbiran dan gerak kerja Cabang Batu akan terus diperkukuhkan di bawah pimpinan Puan Idawatie Pariman selaku Timbalan Ketua Cabang dan segala aktiviti parti akan berjalan seperti biasa demi memastikan perjuangan parti terus diperkasa," katanya.
Dalam pada itu, cabang berkenaan turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Asheeq Ali sepanjang bersama parti.
"KEADILAN Cabang Batu menghormati keputusan saudara Asheeq Ali dan merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas segala jasa, komitmen dan pengorbanan beliau sepanjang bersama perjuangan parti," kata kenyataan itu lagi.




Comments