Kepulangan PMX wajar diberi sambutan hebat
- Suara Keadilan
- Sep 24, 2023
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Kepulangan PMX dari sidang Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) wajar diberi sambutan hebat berikutan kejayaan gilang gemilang beliau sebagai 'jurujual' nombor satu negara.
Bukan sahaja kejayaan serta kegigihan beliau membawa masuk pelaburan ke Malaysia tetapi PMX juga berjaya menjadi 'jurujual' Islam dan Ummah.
Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New York, Amerika Syarikat yang berakhir esok, selain mencatat beberapa kejayaan turut merakam beberapa sejarah penting.
Secara umumnya, lawatan empat hari itu adalah menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 yang mana PMX turut menyampaikan ucapannya dalam perhimpunan tahunan tersebut.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti konflik Ukraine-Rusia, Islamofobia, perubahan iklim dan masalah semasa di Myanmar.
Bertemu tokoh perniagaan terkemuka global
Namun, selain itu, beliau juga sempat mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua kerajaan asing, antaranya Turkiye, Iraq, Thailand dan Sri Lanka.
Anwar turut mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama tokoh-tokoh daripada 15 syarikat terkemuka Amerika Syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500, antaranya Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.
Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah AS$40 trilion pula, beliau memberi penekanan tentang komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif buat para pelabur asing.
Di samping itu, sempena lawatan berkenaan, PM dijemput untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York.
Anwar merupakan pemimpin dunia Islam yang pertama dijemput menyampaikan khutbah di Pusat Kebudayaan Islam tersebut dan topik yang disentuhnya ialah tentang perdamaian, keharmonian dan toleransi sesama muslim.
Setelah selesai solat Jumaat kemudiannya, Anwar diminta oleh komuniti Islam New York menyempurnakan lafaz syahadah seorang sudara baru, Andrew Vinals untuk memeluk agama Islam.
'Jurujual' terbaik negara
Ketika mengulas lawatan Anwar ke Amerika Syarikat ini, khususnya dalam konteks menarik pelaburan asing, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Perdana Menteri sebagai “jurujual terbaik” untuk negara.
Katanya, pandangan dan ketegasan Malaysia yang disuarakan Perdana Menteri dalam ucapannya di UNGA, sesi memperkukuh hubungan dengan ketua negara asing dalam perbincangan dua hala, kemampuan berinteraksi dengan pelabur dan memberi jaminan tentang masa depan negara serta berkongsi usaha dalam menangani krisis iklim dan mengambil tindakan ke arah mencapai Tindakan Agenda 2030 juga matlamat pembangunan mampan (SDG) ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan, semuanya nampak sangat berjaya kerana Datuk Seri Anwar yang mengetuainya.
Malah, Tengku Zafrul berkata, dengan kewibawaan Datuk Seri Anwar sebagai “jurujual terbaik” itu telah memudahkan kerja-kerjanya menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.
Tengku Zafrul adalah menteri yang berpeluang berkhidmat dengan tiga Perdana Menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebekum ini dan kini dengan Datuk Seri Anwar.
Pengiktirafan beliau tentang kemampuan Datuk Seri Anwar dengan jelas memperlihatkan kualiti kepimpinan Perdana Menteri yang tidak perlu diragui lagi.
Hakikatnya, dengan dijemput menyampakan khutbah dan kemudian menyempurnakan pengislaman seorang saudara baru di New York, selain acara rasmi berucap di UNGA dan program lainnya, Anwar dalam hal ini bukan saja jurujual terbaik untuk negara, tetapi juga jurujual yang cemerlang untuk ummah dan Islam.
Salahkah kita sebagai sebagai rakyat Malaysia berbangga memiliki Perdana Menteri sepertinya?
* Kredit foto: Afiq Hambali PMO
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.
Comments