KePKAS perhebat projek pemuliharaan hadapi VM2026 - Christina Liew
- Suara Keadilan

- Nov 10
- 2 min read

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah telah melaksana pelbagai projek pelancongan dan pemuliharaan sepanjang tahun ini demi memperkasakan sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menterinya, Datuk Seri Panglima Christina Liew (gambar) berkata, usaha itu termasuk menaik taraf Pintu Timpohon di Taman Kinabalu bernilai RM1 juta, selain penambahbaikan kemudahan pelawat di Poring Hot Spring (Ranau), Rumah Agnes Keith (Sandakan) dan tapak arkeologi Bukit Tengkorak (Semporna).
"Selain itu, beberapa projek pelancongan utama turut dinaik taraf termasuk Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo, Rumah Agnes Keith dan Galeri Martin & Osa Johnson dengan peruntukan keseluruhan RM1.25 juta.
"KePKAS turut menumpukan perhatian kepada projek Koridor Makanan Gajah di Kinabatangan serta penambahbaikan Pusat Perlindungan Gajah Borneo yang bakal dibuka kepada pelancong," katanya dipetik.
Tambahnya, antara usaha lain termasuk menaik taraf Pusat Informasi Pelawat di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat serta memperkenalkan perkhidmatan Hop-on Hop-off City Bus Tour di Kota Kinabalu bagi memperkaya pengalaman pelancong.
Christina turut memaklumkan, empat kawasan baharu akan digazetkan di bawah Lembaga Taman-Taman Sabah iaitu Teluk Darvel (Lahad Datu), Pulau Mengalum (Kota Kinabalu), Perairan Mantanani (Kota Belud) dan Pulau Tambisan (Lahad Datu) selaras dengan komitmen Sabah terhadap matlamat global melindungi 30 peratus kawasan biodiversiti menjelang 2030.
"Selain itu, kita dalam fasa akhir menyiapkan Sabah Tourism Blueprint sebagai pelan induk pembangunan pelancongan negeri yang menumpukan kepada pembangunan luar bandar, infrastruktur dan pemerkasaan komuniti," ujar Penasihat KEADILAN Sabah itu.
Beliau sementara itu berkata, KePKASmenyokong penganjuran acara pelancongan seperti Sepilok Jazz, Sandakan Tree Trail dan Rasa Sandakan Food Trail bagi memperkukuh daya tarikan pelancongan di pantai timur negeri.
Selain itu sebanyak RM50,000 telah diperuntukkan bagi penerbitan dokumentari Jungle Adventures: Borneo’s Lost Film yang bakal mempromosikan Sabah sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia.
"Semua inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini," katanya.









Comments