Kepimpinan PM Anwar penting demi kelangsungan reformasi institusi - Shamala
- Suara Keadilan

- 20 hours ago
- 2 min read

Malaysia memerlukan kepimpinan yang berprinsip, berpengalaman dan berani membuat keputusan sukar dalam memastikan agenda pembaharuan negara dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.
Naib Pengerusi KEADILAN Johor merangkap Ketua Cabang Segamat, Shamala Vasudevan berkata, kualiti kepimpinan sedemikian hanya dimiliki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat serta berani membetulkan sistem pemerintahan.
"Dalam landskap politik yang sebelum ini dicemari ketidakstabilan, penyalahgunaan kuasa dan krisis keyakinan terhadap institusi negara, pentadbiran di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengembalikan fokus kepada tadbir urus yang bersih, integriti pentadbiran dan kebertanggungjawaban kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, usaha memperkukuh institusi negara kini menjadi teras utama pentadbiran Kerajaan MADANI dan bukan sekadar slogan politik, termasuk komitmen memperbaiki sistem perundangan serta institusi semak dan imbang negara.
"Antara langkah penting yang sedang diusahakan ialah cadangan pembentangan Rang Undang-Undang berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara. Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan kebebasan institusi kehakiman serta mengelakkan konflik kepentingan, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keadilan undang-undang," ujarnya.
Pada masa sama, kata Shamala, penubuhan institusi Ombudsman yang diumumkan PM minggu lalu bakal meningkatkan lagi akauntabiliti awam bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran.
"Institusi ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan aduan dan permasalahan terhadap mana-mana pihak dalam pentadbiran, tanpa pengecualian.
"Prinsipnya jelas, daripada Perdana Menteri hingga ke peringkat paling bawah, semua pihak tertakluk kepada semakan dan boleh dipersoalkan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keupayaan Datuk Seri Anwar mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan, mengurus ekonomi dalam suasana global mencabar serta melaksanakan reformasi secara berperingkat tetapi konsisten, membuktikan kewibawaan beliau sebagai seorang negarawan.
Ujarnya, keberanian PM mencadangkan had tempoh jawatan Perdana Menteri dua penggal pula merupakan bukti jelas bahawa agenda reformasi institusi yang dibawa bukan bersifat retorik.
Sehubungan itu, Cabang Segamat berpandangan bahawa agenda reformasi institusi yang sedang berjalan tidak wajar dipatahkan oleh kepentingan politik sempit, sebaliknya memerlukan kesinambungan kepimpinan yang stabil dan konsisten.
"Reformasi institusi memerlukan masa, kestabilan dan kepimpinan yang konsisten.
"Justeru, kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penggal seterusnya adalah satu keperluan strategik demi memastikan perubahan yang telah dimulakan dapat disempurnakan sepenuhnya
"Malaysia tidak boleh berpatah balik. Negara memerlukan kepimpinan yang tegas, berwibawa dan berteraskan nilai akauntabiliti," katanya lagi.









Comments