Kepimpinan PM Anwar lonjak semula nama Malaysia - Hajiji
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya melonjakkan semula nama Malaysia di persada antarabangsa serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata sejak menerajui kepimpinan negara, Perdana Menteri telah memperkukuh hubungan dengan pemimpin dunia sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
"Sejak mengetuai kepimpinan negara, Perdana Menteri telah berjaya melonjakkan semula nama Malaysia di persada antarabangsa melalui hubungan baik yang sentiasa diperkukuh dengan para pemimpin dunia.
"Saya ingin mengulangi bahawa kerajaan negeri yang saya pimpin ini yang terbentuk susulan selesainya Pilihan Raya Negeri ke-17, akan terus memberikan sokongan dan dukungan padu kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya dipetik pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu semalam.
Mengulas lanjut Hajiji berkata, antara pencapaian tersebut ialah kecemerlangan Malaysia dalam mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada tahun lepas, yang telah digalas dengan cemerlang oleh Anwar.
Dalam pada itu, beliau berkata kepimpinan kerajaan MADANI juga berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan apabila mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM426.7 bilion tahun lalu, meningkat 11 peratus berbanding 2022.
"Pelaburan ini juga melibatkan lebih 8,000 projek dengan potensi peluang pekerjaan sebanyak 244,902. Pada masa sama, nilai ringgit semakin mengukuh yang memberi isyarat bahawa kepimpinan kerajaan MADANI ini berada pada landasan yang tepat untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kecemerlangan," katanya.
Menerusi ucapannya, Hajiji juga mengalu-alukan pendekatan strategik kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diawalkan menjelang Aidilfitri.
"Juga bantuan khas RM400 FlySiswa kepada pelajar IPTA (institut pengajian tinggi awam) yang akan bercuti hari raya melibatkan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," tambah beliau.
