Kepimpinan PM Anwar cipta revolusi teknologi digital, siber negara
- Suara Keadilan
- Mar 29
- 3 min read

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja merealisasikan prinsip ketelusan dan anti korupsi yang diperjuangkan sejak dua dekad lalu tetapi juga menempatkan Malaysia ke dalam arus perdana teknologi digital dunia.
Bagi Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Bryan Ng Yih Miin, pemikiran Datuk Seri Anwar jelas merupakan satu revolusi ke arah negara digital sepenuhnya.
Malah, kata beliau, Malaysia juga telah mampu mengatasi serangan siber apabila kerajaan memperkasakan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
NACSA baru baru ini, katanya, berjaya menangani serangan siber terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hanya dalam tempoh beberapa hari.
"Serangan yang bermula pada 23 Mac 2025 ini bertujuan untuk mengganggu operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan penyerang menuntut wang tebusan sebanyak AS$ 10 juta. Kerajaan Malaysia dengan tegas menolak tuntutan tersebut dan bertindak segera melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan telah berjaya menangani serangan ini serta memastikan sistem keselamatan digital negara diperkukuhkan.
"Di bawah kepimpinan PM, kerajaan Madani telah mengambil langkah berani memperkukuhkan keselamatan siber serta mempercepatkan pembangunan ekonomi digital.

"Malaysia tidak boleh lagi ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi global seperti pada zaman Perikatan Nasional, dan AMK menyokong komitmen kerajaan Madani yang berterusan dalam membangunkan infrastruktur digital yang kukuh demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara," kataya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurut Bryan Ng, sebagai tindak balas terhadap ancaman siber yang semakin kompleks, Kerajaan Madani juga telah mengambil beberapa langah, antaranya, menguatkuasakan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) sebagai rangka kerja perundangan bagi pengurusan keselamatan siber negara.
Juga menganjurkan Sidang Kemuncak Keselamatan Siber NACSA (NCSS) 2024 untuk mengumpulkan pakar-pakar keselamatan digital dalam memperkukuhkan daya tahan siber negara, dan Mempercepatkan pembangunan Malaysia Centre for 4IR serta Pejabat AI Kebangsaan bagi memastikan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan blockchain dimanfaatkan dengan baik.
Bagaimanapun, katanya, disebalik usaha kerajaan mengukuhkan keselamatan siber pembangkang PN seringkali dengan tanpa alasan munasabah menolak inisiatif teknologi tersebut.
"Mereka mempertikai sistem PADU yang bertujuan memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat dengan lebih efisien, sedangkan negara seperti Singapura dan Estonia telah berjaya menggunakan sistem digital berpusat bagi mempercepatkan perkhidmatan awam.
"Selain itu, mereka mempersoalkan pelaksanaan 5G dan Digital ID, yang dijangka meningkatkan keselamatan serta kecekapan digital negara, walaupun kajian menunjukkan 5G boleh meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak 5% menjelang 2030.
"Sikap skeptikal tanpa penyelesaian alternatif ini hanya menghambat kemajuan dan boleh menyebabkan Malaysia ketinggalan serta menanggung kos lebih tinggi akibat kelewatan dalam transformasi digital," ujar Bryan Ng.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK itu berkata, dalam hal teknologi digital, sayap pemuda itu menyokong prinsip dan usaha berterusan Kerajaan dalam pembangunan negara yang berlandaskan kemajuan teknologi dan bukannya retorik politik yang hanya berasaskan isu perkauman atau agama sempit yang dimainkan oleh pihak Perikatan Nasional dan Pas.
Katanya, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani ke hadapan, bukan pemimpin yang hanya menimbulkan isu sensitif tanpa sebarang pelan pembangunan yang jelas.
"Kerajaan Madani berkomited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat, maju, dan berdaya saing dalam era digital.
"Inisiatif keselamatan siber dan pembangunan ekonomi digital yang sedang dilaksanakan adalah bukti bahawa kepimpinan Datuk Seri Anwar memahami keperluan rakyat dan berusaha memastikan Malaysia terus maju dalam dunia teknologi yang pesat berkembang," katanya lagi.
Sehubungan itu, gesa beliau, rakyat Malaysia harus bijak menilai kepimpinan yang mempunyai wawasan jelas dalam membangunkan negara.
Sokonglah kerajaan yang komited terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukan pihak yang hanya bermain dengan emosi dan sentimen politik sempit.
Comments