top of page

KDN beli kapal kedua dari Turkiye tingkat operasi APMM

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 21
  • 2 min read
⁠Dari kiri: Datuk Dr Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha KDN; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri;  Cenk İsmail Kaptanoglu, Chairman Desan Shipyard, Turkiye; dan Hasan Özgür Cilli, Vice Chairman Deesan Shipyard dalam majlis memeterai kontrak perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS)
Dari kiri: Datuk Dr Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha KDN; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; Cenk İsmail Kaptanoglu, Chairman Desan Shipyard, Turkiye; dan Hasan Özgür Cilli, Vice Chairman Deesan Shipyard dalam majlis memeterai kontrak perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS)

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memeterai kontrak perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua bernilai AS$83.75 juta, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara.


KDN menerusi satu kenyataan memaklumkan, perolehan kapal MPMS kedua itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Kelima (RMKe-12, RP5) Tahun 2025 dan dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard, Turkiye.


"Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri KDN) berkata, perolehan aset strategik seperti MPMS adalah sebahagian daripada keutamaan Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, selain memperkukuh keupayaan operasi agensi dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.


"Perolehan aset strategik ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan maritim serta meningkatkan keupayaan operasi APMM.


"Pada masa yang sama, kerjasama ini turut mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam bidang pertahanan dan keselamatan," kata kementerian itu.


Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoglu.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah.


Menurut KDN, Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan tersebut telah diserahkan kepada syarikat Desan Shipyard pada 7 Januari 2026 ketika lawatan rasmi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ankara, Turkiye.


"Pelaksanaan projek ini juga telah dimulakan dengan Majlis Steel Cutting pada 11 Februari 2026 di Desan Shipyard, Turkiye, yang disaksikan secara telesidang dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya, melibatkan pegawai kanan agensi, wakil Bahagian Perolehan KDN serta Pasukan Projek MPMS.


"KDN akan terus komited memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara melalui pemerkasaan aset dan keupayaan agensi penguatkuasaan," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page