Kepimpinan perlu dekati rakyat, berpaksikan komuniti
- Suara Keadilan

- 17 minutes ago
- 1 min read

Sambutan Hari Krismas disifatkan sebagai simbol pengorbanan dan tekad bersama yang amat signifikan dalam memperkukuh keharmonian serta daya tahan komuniti di negara ini, khususnya dalam mendepani cabaran tahun mendatang.
Aktivis masyarakat, Lai Chen Heng berkata, sepanjang tahun 2025 beliau memberi tumpuan penuh kepada gerak kerja berpaksikan komuniti di Wangsa Maju, dengan penglibatan akar umbi yang lebih kerap berbanding sebelum ini.
"Menjelang penghujung 2025, fokus saya beralih daripada koridor Parlimen terus ke jantung komuniti Wangsa Maju.
"Saya percaya keberkesanan kepimpinan sebenar diukur melalui keupayaan kita menyantuni rintihan warga secara peribadi di lapangan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, nilai pengorbanan yang melambangkan sambutan Krismas amat bertepatan dengan keperluan sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
"Krismas adalah simbol pengorbanan yang besar. Tanpa kerelaan untuk berkorban demi kepentingan bersama, kita tidak mungkin mampu mengekalkan keharmonian yang kita nikmati hari ini," ujarnya.
Mengulas dari sudut politik dan pembangunan negara pula, beliau berpandangan pemulihan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan moral dan kesejahteraan rakyat.
"Pengajaran besar tahun 2025 ialah pemulihan ekonomi mesti berjalan seiring dengan pemulihan moral rakyat. Untuk mendepani tahun 2026 yang lebih mencabar, kepimpinan masa hadapan perlu berpaksikan keikhlasan berkhidmat dan daya tahan kolektif komuniti," jelasnya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada penganut Kristian dan Selamat Bercuti kepada seluruh rakyat Malaysia.









Comments