top of page

Kepimpinan Malaysia perkukuh demokrasi melalui dialog serantau ASEAN - Karen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 2 min read

Sidang ASEAN telah mencapai peringkat dunia dan dialog ASEAN menjamin kedamaian serantau
Sidang ASEAN telah mencapai peringkat dunia dan dialog ASEAN menjamin kedamaian serantau

Malaysia sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju serantau apabila menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang menyaksikan kehadiran pemimpin serantau dan antarabangsa bagi membincangkan masa depan keamanan, kerjasama serta tadbir urus beretika di Asia Tenggara.


Menurut Wakil Negara (Malaysia) Asian Democratic Leaders Alliance (ADLA), Karen Kasturi, ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN hari ini menegaskan komitmen Malaysia terhadap perpaduan dan tadbir urus berasaskan nilai moral yang seiring dengan prinsip Asian Democratic Leaders Alliance (ADLA).


Menurut Karen, Malaysia kekal teguh dengan prinsip mendahulukan perpaduan dan dialog untuk menjamin kemakmuran bersama di rantau Asia Tenggara.

Karen Kasturi
Karen Kasturi

"Sebagai Wakil Negara Malaysia dalam ADLA, saya menyahut seruan Perdana Menteri bahawa kepimpinan tidak ditentukan oleh keadaan, tetapi oleh pilihan, pilihan untuk memimpin dengan integriti, keterangkuman dan keberanian dalam era yang menuntut keyakinan serta kerjasama," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Karen, antara pencapaian penting pada sidang kali ini ialah pemeterian Perjanjian Damai Thailand–Kemboja, yang dilihat sebagai mercu tanda baharu ke arah keamanan serantau.


Langkah itu, katanya, membuktikan keupayaan ASEAN sebagai platform penyelesaian konflik berasaskan keberanian, saling menghormati dan dialog berterusan.


"Kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 pula memberi makna baharu kepada visi ASEAN yang berasaskan keterangkuman dan solidariti. Langkah ini melengkapkan keluarga ASEAN serta memperkukuh destinasi bersama rantau ini yang berasaskan kerjasama dan persefahaman.


"Sementara ASEAN membina jambatan antara kerajaan, ADLA memperkukuh jambatan antara pemimpin dan rakyat, memastikan demokrasi serta tadbir urus yang berpusatkan rakyat terus menjadi teras kemajuan Asia," katanya.


Pengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini, kata Karen, turut menampilkan pelbagai inisiatif strategik seperti Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, Agenda Ekonomi Biru, serta Rangkaian Keselamatan AI (AI SAFE) — menegaskan peranan teknologi sebagai pemangkin kemanusiaan yang dipandu oleh integriti dan akauntabiliti.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 kali ini bukan sahaja meneguhkan kedudukan Malaysia sebagai pemudah cara dialog dan keamanan, malah memperlihatkan wajah baharu ASEAN — lebih matang, inklusif dan berpaksikan rakyat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page