Kepimpinan Malaysia dalam isu tenaga kerja serantau diiktiraf
- Suara Keadilan

- Jun 12
- 1 min read

Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pembangunan modal insan serantau apabila menerima pengiktirafan dan maklum balas positif pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM).
Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berlangsung bersempena Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva.
Ia menghimpunkan Menteri-Menteri Buruh ASEAN bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F Houngbo dalam sesi dialog tidak rasmi yang bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam isu-isu pekerjaan dan latihan tenaga kerja.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan berkata, pada mesyuarat itu Malaysia telah diberi penghargaan atas peranannya dalam memacu inisiatif serantau, terutamanya dalam merangka Pelan Tindakan Pekerjaan Hijau serta memimpin AYOS 2025.
"Menteri Tenaga Manusia Singapura merangkap Pengerusi ALMM, Dr Tan See Leng menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Malaysia dalam memacu pelaksanaan Deklarasi ASEAN mengenai Promosi Pekerjaan Hijau.
"Sementara itu, Houngbo pula memuji kepimpinan Malaysia dalam pembangunan kemahiran, terutamanya dalam menghadapi cabaran global seperti transformasi teknologi dan menyokong penuh AYOS 2025," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu KESUMA memaklumkan bahawa Steven Sim pada mesyuarat itu menegaskan komitmen berterusan ASEAN terhadap kerjasama tenaga kerja melalui pelbagai agenda strategik, termasuk Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 dan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 (AYOS 2025) yang diterajui Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
"Fokus terhadap pembangunan modal insan adalah teras kepada kemajuan bersama ASEAN, seiring dengan usaha memperkukuh Grid Tenaga ASEAN, Taksonomi Kewangan Mampan dan Gerbang Pembayaran Digital ASEAN," ujar beliau.









Comments