Kepimpinan Dr Zaliha memperkukuh jentera KEADILAN Johor - Prakash
- Suara Keadilan

- Dec 19, 2025
- 1 min read

Kepimpinan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) dilihat menjadi tunjang utama kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan KEADILAN Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dengan jentera parti kini berada pada tahap lebih tersusun, stabil dan berkeyakinan.
Pengarah Strategi KEADILAN Johor, Prakash Maniam berkata, pengalaman dan kewibawaan dimiliki Dr Zaliha merupakan peranan penting dalam menerajui KEADILAN Johor ketika PRN Sabah di kerusi DUN Melalap yang juga merupakan kerusi sulung Pakatan Harapan (PH) dan membuktikan keupayaan Dr Zaliha mengemudi jentera parti ke arah kemenangan.
Beliau berkata, kepimpinan Dr Zaliha membawa nilai yang berharga bagi KEADILAN untuk terus diperkukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa serta membawa kejayaan pada PRN dan Pilihan Raya Umum ke 16 akan datang.

"Di Parlimen Sekijang, kekuatan dan kestabilan parti terus mantap di bawah kepimpinan sedia ada.
"Penganjuran Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Sekijang bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor baru-baru ini, telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada seluruh lapisan komuniti.
"Kehadiran yang memberangsangkan ini jelas membuktikan sokongan padu rakyat terhadap KEADILAN Johor di bawah kepimpinan Dr Zaliha selaku Pengerusi KEADILAN Johor," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Prakash lagi, sebagai Ketua Cabang Tebrau yang merupakan cabang terbesar di Johor, pihaknya telah menzahirkan sokongan penuh dan berdiri teguh bersama kepimpinan Dr Zaliha.
Beliau menegaskan, pihaknya komited untuk bergerak seiring, memperkukuh jentera parti sekaligus memastikan kemenangan KEADILAN di Johor demi rakyat dan masa depan negara.









Comments