Kepimpinan diplomatik Malaysia diiktiraf dunia - AIC
- Suara Keadilan
- Jul 31
- 1 min read

Kejayaan Malaysia sebagai orang tengah dalam konflik sempadan Thailand dan Kemboja sehingga termeterainya perjanjian gencatan senjata merupakan rekod gemilang negara dalam diplomatik antarabangsa.
Menurut Anwar Ibrahim Club (AIC), rakyat Malaysia seharusnya merasa bangga terhadap pengiktirafan dunia yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kejayaan beliau memediasi rundingan damai berkenaan.
Kata AIC, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian diplomatik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, tetapi juga mencerminkan keberanian moral dan kepimpinan berprinsip yang mendaulatkan nilai rundingan, kemanusiaan dan keamanan sejagat.
"Sebagai pemimpin negara dan Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri bukan sahaja berjaya membawa dua negara jiran ke meja rundingan, malah mempamerkan keteguhan prinsip dan semangat diplomasi yang tulen," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, penghargaan terbuka daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China, Jepun, Australia, Belanda, Kesatuan Eropah dan Pakistan, serta sokongan rakan serantau seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Brunei membuktikan kedudukan Malaysia sebagai kuasa sederhana yang dihormati di arena antarabangsa.
AIC menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil dasar luar negara yang matang, berpandangan jauh, dan berani menyuarakan kebenaran dalam dunia yang sering dicengkam kepentingan geopolitik.
"Ini adalah wajah Malaysia MADANI iaitu kepimpinan yang membawa suara damai, memperjuangkan keadilan, dan menjunjung nilai kemanusiaan. Ia wajar menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia," kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, AIC menyeru semua rakyat untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Anwar agar suara Malaysia kekal relevan, dihormati, dan mampu memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan lebih baik bagi Asia serta dunia.
Comments