Kepimpinan berprinsip, integriti Anwar bawa Malaysia ke arah lebih maju
- Redzuan Shamsudin

- 6 hours ago
- 2 min read

Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai faktor utama yang membawa Malaysia ke arah lebih stabil, progresif dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Ketua Penerangan KEADILAN Tanjong Malim, Baharul Kalam Zainun berkata, dalam landskap politik yang semakin mencabar, negara memerlukan pemimpin berprinsip serta berani melakukan perubahan demi masa depan rakyat.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa kepimpinan yang berteraskan prinsip, integriti dan visi yang jelas mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih maju, stabil dan dihormati di peringkat antarabangsa," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, pengalaman politik Anwar yang melebihi empat dekad telah membentuk ketahanan serta kematangan dalam kepimpinan, sekali gus membolehkan beliau mengharungi pelbagai cabaran dengan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan.

"Ketika ramai memilih jalan mudah, Anwar kekal teguh mempertahankan prinsip perjuangan demi keadilan, reformasi dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri ke-10, Anwar telah memperkenalkan gagasan Malaysia MADANI sebagai kerangka pentadbiran negara yang baharu.
"Berteraskan nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, pendekatan ini bukan hanya slogan, tetapi diterjemahkan melalui pelbagai dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat," katanya.
Tambahnya, dasar tersebut merangkumi pengukuhan ekonomi, peningkatan pelaburan, bantuan bersasar serta usaha berterusan mengurangkan kos sara hidup.
Di peringkat antarabangsa, beliau berkata Malaysia kini kembali menyerlah hasil pendekatan diplomasi aktif yang membuka peluang pelaburan baharu serta memperkukuh hubungan strategik dengan negara lain.
"Diplomasi aktif yang digerakkan berjaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi negara," katanya.
Menurut Baharul Kalam, kepimpinan Anwar turut membawa mesej bahawa politik bukan sekadar perebutan kuasa, sebaliknya medan untuk membela nasib rakyat dan membina negara yang lebih adil.
"PMX bukan cuma seorang Perdana Menteri. Beliau adalah simbol ketabahan, harapan dan perubahan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kepimpinan berwawasan akan terus memastikan Malaysia melangkah ke hadapan sebagai negara yang inklusif dan berdaya saing.




Comments