Kepimpinan baharu KBS perlu tekankan agenda belia hadapi cabaran semasa - MBM
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) serta Mordi anak Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dianggap langkah tepat oleh Majlis Belia Malaysia (MBM).
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid (gambar), berkata pelantikan kepimpinan baharu KBS itu hadir pada saat belia negara berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk kos sara hidup yang meningkat, kebolehpasaran graduan, perubahan landskap dunia pekerjaan serta isu kesejahteraan mental.
"Sehubungan itu, MBM berharap kepimpinan baharu KBS dapat memastikan agenda pembangunan belia kekal relevan, berpaksikan realiti sebenar anak muda serta berteraskan dasar berasaskan data dan suara akar umbi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, MBM menegaskan keperluan untuk memperkukuh peranan pertubuhan belia sebagai rakan strategik kerajaan, khususnya dalam merangka dan melaksanakan dasar yang memberi tumpuan kepada agenda belia.
"MBM menegaskan keperluan untuk memperkukuh peranan pertubuhan belia sebagai rakan strategik kerajaan dengan penekanan kepada agenda ekonomi belia, pekerjaan bermaruah dan pembangunan yang inklusif merangkumi semua lapisan," ujarnya.
Dalam pada itu, MBM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Hannah Yeoh dan Adam Adli atas sumbangan serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tempoh menerajui KBS sebelum ini.
MBM, kata Mohd Izzat Afifi, kekal komited untuk menjadi rakan kolaborasi yang kritikal tetapi konstruktif demi memastikan kepentingan dan suara belia terus dipelihara dalam setiap dasar dan keputusan yang melibatkan masa depan generasi muda negara.





