Pakatan Harapan (PH) wajar diperkuatkan untuk menempuh cabaran getir sosio-politik pasca kelulusan Belanjawan 2021.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pembangkang perlu menggembleng kekuatan bersama dalam menghadapi musuh untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Katanya, ketokohan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih merupakan aset terbaik untuk gabungan itu menggempur Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum berikutnya.
"Saya menyeru seluruh pendukung KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk kekal bersemangat, memperkemaskan tekad serta istiqamah menyusun kekuatan menghadapi persaingan politik di arena demokrasi negara.
"Sewajarnya iltizam Datuk Seri Anwar menjadi teladan kepada kita untuk terus menggembleng usaha dan buah fikiran memperkuatkan ketumbukan pro-demokrasi yang merangkumi parti-parti politik dan segenap pertubuhan masyarakat madani.
"Saya yakin kepimpinan Datuk Seri Anwar selaku Presiden KEADILAN, Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang mampu menerajui kekuatan demokratik ini bagi mencapai kejayaan menerapkan agenda Reformasi," katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Besar Selangor itu juga menyeru agar pemimpin PH tidak lari daripada fokus membela rakyat yang menderita menghadapi pandemik Covid 19, di samping menguatkan iltizam merancakkan perjuangan Reformasi.
"Berhadapan dengan ketidaktentuan politik semasa serta kesan melarat pandemik Covid-19, ketumbukan kita tidak boleh sama sekali terganggu daripada ikhtiar untuk membela nasib rakyat.
"Justeru, jangan sesekali kita mengeluh dan jangan abaikan matlamat perjuangan bersama. Pertingkatkan usaha demi agenda Reformasi," katanya lagi.
Comments