top of page

Kepercayaan pembaca tentukan masa depan wartawan, bukan viraliti

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 3 min read
Nie Ching (kiri) dalam sesi dialog selepas merasmikan forum dua hari, Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di Putrajaya, hari ini
Nie Ching (kiri) dalam sesi dialog selepas merasmikan forum dua hari, Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di Putrajaya, hari ini

Masa depan kewartawanan tidak boleh ditentukan oleh siapa yang paling tular (viraliti), sebaliknya laporan paling dipercayai, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.


Beliau berkata dalam dunia yang bergerak semakin pantas, wartawan perlu terus mempertahankan ketepatan dan integriti sebagai asas utama profesion kewartawanan.


"Perhatian boleh diperoleh dalam beberapa saat. Kepercayaan pula mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina.


"Oleh itu, masa depan kewartawanan tidak boleh ditentukan oleh siapa yang paling viral. Masa depan wartawan mesti ditentukan oleh siapa yang paling dipercayai.


"Dalam dunia yang bergerak lebih pantas, wartawan mesti terus mempertahankan ketepatan," katanya ketika merasmikan forum dua hari Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di Putrajaya hari ini.


Program tersebut dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama Malaysia Press Institute (MPI) serta Jabatan Penerangan.


Forum tersebut dihadiri pengarang-pengarang media arus perdana, wartawan serta ahli akademik.


Menurut Nie Ching, industri media kini berdepan antara perubahan paling besar dalam sejarah komunikasi moden susulan peralihan daripada media tradisional kepada media digital dan kini memasuki era kecerdasan buatan (AI) generatif.


Katanya, cabaran utama pada masa ini bukan lagi mendapatkan maklumat, sebaliknya menentukan maklumat yang benar, mengelirukan atau sengaja dimanipulasi.


"Kandungan dihasilkan pada skala yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Dalam persekitaran sebegini, cabaran sebenar bukan lagi sekadar memperoleh maklumat, tetapi menentukan maklumat yang benar, yang mengelirukan dan yang sengaja dimanipulasi," katanya.


Beliau berkata, ekonomi perhatian (attention economy) yang didorong algoritma media sosial turut mewujudkan cabaran baharu kepada organisasi media.


"Dalam banyak keadaan, algoritma memberi keutamaan kepada kandungan yang mencetuskan emosi kuat seperti kebencian dan kemarahan.


"Akibatnya, perhatian sering diberikan kepada perkara sensasi berbanding perkara yang penting.


"Perbahasan awam semakin dipengaruhi emosi berbanding fakta manakala maklumat yang tidak lengkap bergerak lebih pantas daripada maklumat yang telah disahkan," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan media perlu kekal relevan dalam dunia digital tanpa mengorbankan prinsip asas kewartawanan.


"Media mesti memahami bagaimana algoritma berfungsi tanpa membenarkan algoritma menentukan sepenuhnya nilai dan hala tuju kewartawanan," katanya.


Dalam pada itu, Nie Ching mengakui organisasi media kini berdepan dilema besar antara keperluan untuk menjadi yang terpantas dan tanggungjawab memastikan ketepatan laporan.


"Jika terlalu lambat, mereka dianggap ketinggalan. Jika terlalu cepat, mereka berisiko melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan kredibiliti organisasi.


"Walau sekuat mana tekanan yang dihadapi, prinsip asas kewartawanan tidak boleh berubah. Fakta mesti diperiksa. Maklumat mesti disahkan. Kebenaran mesti kekal menjadi keutamaan," tegasnya.


Beliau berkata dunia ketika ini turut berdepan krisis kepercayaan yang semakin membimbangkan, sekali gus menjadikan peranan wartawan lebih penting daripada sekadar melaporkan berita.


Menyentuh mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), beliau berkata mekanisme kawal selia kendiri yang bertanggungjawab adalah pendekatan terbaik bagi industri media yang kompleks dan dinamik.


Menurutnya, Fasa 2 Mekanisme Pematuhan MMM yang dilaksanakan pada 8 April lalu telah menerima 14 aduan dalam tempoh kurang dua bulan membabitkan isu ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran dan perkara berkaitan keharmonian sosial.


"Daripada jumlah itu, 12 aduan berjaya diselesaikan manakala baki kes masih dalam proses semakan.


"Kami percaya majlis ini akan terus mengendalikan aduan secara bebas, adil dan profesional," katanya.


Mengenai AI, beliau berkata teknologi itu mampu membantu wartawan menganalisis data dalam jumlah besar, menterjemah bahasa, mentranskripsi temu bual serta mempercepatkan proses pengumpulan maklumat.


Bagaimanapun, katanya, AI turut membawa risiko besar termasuk peningkatan kandungan palsu dan teknologi deepfake yang semakin sukar dikesan.


"AI boleh menghasilkan kandungan, tetapi ia tidak dapat menggantikan etika, pertimbangan, pengalaman dan tanggungjawab manusia.


"Masa depan kewartawanan bukanlah persaingan antara manusia dan teknologi, sebaliknya gabungan kecanggihan teknologi dengan kebijaksanaan manusia," katanya.


Beliau berkata Malaysia memerlukan ekosistem media yang lebih berdaya tahan, inovatif dan dipercayai menjelang 2030.


Bagi mencapai matlamat itu, beliau menggariskan empat keutamaan utama iaitu memperkukuh literasi media rakyat, memperluaskan latihan berkaitan AI dan pengesahan digital, meningkatkan kerjasama antara industri media, universiti dan kerajaan serta terus mempertahankan standard etika dan profesionalisme yang tinggi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page