
Kepelbagaian sekolah dan aliran pendidikan di Malaysia tidak harus sebagai halangan penyatuan bangsa sebaliknya perlu dianggap sebagai kelebihan.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, hal yang penting dalam sistem pendidikan adalah tujuan pendidikan itu sendiri untuk melahirkan insan cemerlang, berakhlak dan menjadi warganegara yang baik.
Katanya, asalkan negara mempunyai bahasa pengantar maka pendidikan boleh dipilih mengikut kesesuaian dan kecenderungan anak-anak.
"Kita mengaku perlu ada unsur penting dalam pendidikan iaitu bahasa pengantar dan ia tidak boleh dinafikan. Misalnya Bahasa Melayu.
"Selain itu kita perlu seimbang. Bukan proses pendidikan yang out putnya sama sahaja. Tidak. Pendidikan perlu kepada kepelbagaian. Itu kita anggap sebagai aset dan bukan halangan.
"Adakah pemansuhan sekolah vernakular akan membawa hala tuju lebih baik, saya tak setuju. Saya tengok sekarang ramai kawan-kawan Melayu hantar anak ke sekolah Cina.
"Jika kita ada sekolah Inggeris seperti dahulu, ada juga ibu bapa Cina akan hantar kes sekolah Inggeris. Ini adalah pilihan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik kepada anak-anak
"Tujuan kita adalah mewujudkan satu sistem pendidikan yang kompetitif dan baik kepada ank-anak.
"Kita tidak perlu memaksakan sesuatu yang standardise dan berikan kepada peluang lebih baik kepada anak-anak. Cuma kita tidak meninggalkan unsur penting, fahaman bahasa dan menguatkan kefahaman bahasa Melayu. Misalnya saya boleh cakap slanga Utara sebab banyak bergaul dan pergi pelbagai tempat di sana," katanya dalam temubual bersama Lensa Parlimen.
Menjawab soalan berkenaan pendidikan boleh menentukan bidang kerjaya yang lebih luas, Ming Kai berkata, hal berkenaan mungkin perlu dilihat kepada fokus perniagaan sesuatu syarikat.
Katanya, tidak semestinya jika peniagaan milik Cina maka hanya memerlukan pekerja boleh berbahasa Mandarin kerana masyarakat Cina bukan semuanya mampu bercakap dialek Mandarin yang diajar di sekolah Cina.
"Kalau kerja perlu fasih dalam satu satu bahasa kena tengok juga, Cina belum tentu faham bahasa Mandarin. Cuma dalam konteks ini kita kena faham sektor swasta ambil kira keuntungan. Dia perlukan minimum kos tetapi produktiviti tinggi. Beza dengan sektor kerajaan boleh gaji banyak orang tetapi mereka guna duit cukai.
"Saya nampak juga ada syarikat gantung banner yang tulis ambil pekerja muslim sahaja. Mungkin hotel dia ada khusus target pelanggan (muslim sahaja).
"Untuk bangunkan pendidikan kompetitif kita lihat keperluan yang perlu kita capai. Kita lihat apa tugas tertentu? Contoh saya Cina nak masuk politik, bolehkah saya langsung tak tahu bahasa Melayu?
"Ini sebenarnya hala tuju, dan tidak boleh anggap diskriminasi. Kecuali diletak terang terang dalam iklan permohonan bangsa ini boleh, bangsa ini tidak boleh. Saya pun ada rakan bangsa Melayu fasih bahasa Mandarin dan marketnya besar," katanya lagi.