top of page

Kenyataan Tok Mat dangkal - AMK Negeri Sembilan


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Mohamad menyifatkan kenyataan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan yang mengaitkan kelemahan kerajaan Negeri Sembilan dengan peningkatan kes Covid-19 yang merekodkan angka melebihi 1,000 dalam tempoh 24 jam yang lalu merupakan satu pandangan yang dangkal.


Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa peningkatan kes Covid-19 tersebut adalah hasil daripada usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri menjalankan ujian saringan bersasar bersama pihak majikan dalam sektor perindustrian serta saringan kontak rapat dan saringan bergejala, khususnya di Seremban.


“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malasyia (KKM), jelas menunjukkan bahawa punca utama pertambahan kes adalah disebabkan pembukaan sektor perindustrian di Malaysia, yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).


“Masyarakat sedia maklum bahawa sektor perindustrian telah menjadi penyumbang terbesar dalam pembentukan kluster-kluster baharu yang seterusnya menyumbang kepada pertambahan kes di seluruh negara, dan bukannya di Negeri Sembilan sahaja.


“Untuk makluman Datuk Seri, pihak pentadbiran Kerajaan Negeri tidak memiliki kuasa untuk menutup sektor perindustrian yang dipertanggungjawabkan di bawah MITI.


“Oleh yang demikian, kerajaan negeri perlu mengambil langkah alternatif dengan melipatgandakan usaha saringan bersasar khususnya dalam sektor perindustrian bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Negeri Sembilan,” katanya.


Selain itu, Hafiz memuji pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memerangi Covid-19 melalui Dewan Undangan Negeri ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2021 yang lalu.


“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM29,401,352 telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut sepanjang tahun 2021 sehingga ke hari ini.


“Bagi memastikan pengurusan dan perjalanan program vaksinasi di Negeri Sembilan berjalan lancar, Kerajaan Negeri telah mempersiapkan segala bentuk fasiliti dan infrastruktur bagi menampung keperluan vaksinasi kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.


Malah, katanya, selain daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, sebanyak beberapa buah hospital swasta, 28 buah klinik swasta dan PPV Mega USIM telah disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri.


“Ini seterusnya meningkatkan jumlah kapasiti kepada 8,460 penerima (vaksin sehari) berbanding hanya 5,354 penerima sahaja.


“Walaupun jumlah kapasiti sedia ada mampu menampung sehingga 13,814 penerima dos vaksin, secara purata hanya 8,000 dos sahaja yang dibekalkan oleh Covid-19 Immunisation Task Force (CITF).


“Oleh itu, saya menggesa agar bekalan dos vaksin dapat segera ditingkatkan di Negeri Sembilan dan juga di seluruh negara bagi menyegerakan misi mencapai imuniti kelompok,” katanya.


Namun, beliau tampil mempersoalkan beberapa perkara kepada Mohamad.


“Mampukah Datuk Seri menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menambah bekalan dos vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Negeri Sembilan?


“Adakah terdapat komunikasi secara langsung antara Datuk Seri dan Khairy Jamaluddin selaku Pengerusi CITF bagi menggembleng usaha membantu proses vaksinasi rakyat di Negeri Sembilan?


“Adakah Datuk Seri selaku Timbalan Presiden Umno, yang juga sebahagian daripada PN tidak mampu mempengaruhi halatuju pentadbiran Kerajaan PN?


“Mampukah Datuk Seri meletakkan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan mengatasi kepentingan parti akibat perebutan kawasan khususnya di Parlimen Rembau dalam pilihan raya yang akan datang?


“Persoalan-persoalan ini tidak akan timbul sekiranya Datuk Seri benar-benar ikhlas ingin membantu rakyat Negeri Sembilan mendepani pandemik Covid-19.


“Oleh yang demikian, saya yakin Kerajaan Negeri telah menetapkan strategi dan perancangan yang baik bagi memerangai Covid-19. Faktor utama yang akan menentukan kejayaan tersebut terletak kepada kerjasama kesemua pihak, tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page