Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menjunjung kasih di atas sepucuk surat teguran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ke atas kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi yang melampau dan bersifat provoktif.
Menurut pimpinan JPPA, Ustaz Ashraf Hadi, Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menunjukkan kepekaan dan kesedaran terhadap potensi bahaya yang akan timbul akibat kenyataan yang tidak cermat mempersoalkan kononnya Islam terabai walhal agama suci itu telah pun termaktub sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dukacita yang disuarakan oleh baginda mencerminkan keprihatinan yang mendalam terhadap keselamatan dan kesejahteraan umat Islam, khususnya di kalangan masyarakat Melayu yang mungkin terpengaruh oleh kenyataan tersebut.
"Langkah baginda dalam mengutus surat kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor menunjukkan kesanggupan baginda memberi nasihat demi kebaikan bersama serta memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan keharmonian masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Nasihat Sultan Selangor, kata Ustaz Ashraf, bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:
“Mahukah aku khabarkan kepada kamu orang yang paling jahat dalam kalangan kamu? Iaitu mereka yang suka mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat”
"Dengan demikian, tindakan dan reaksi DYMM Sultan Selangor seharusnya didukung sepenuhnya oleh semua pihak sebagai komitmen terhadap memelihara ketenteraman dan keharmonian di negara ini.
"Justeru JPPA AMK Malaysia mendesak Pas untuk menyatakan pendirian terhadap titah DYMM Sultan Selangor ini," katanya lagi.
Kelmarin Hj Hadi menulis artikel bertajuk 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan' yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Dalam artikel tersebut Hj Hadi menyatakan Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang penjajah yang anti Islam dan umat Islam perlu mempunyai kerangkan hukum yang lebih baik.
Hj Hadi mengulas mengenai 16 perkara dalam enakmen jenayah syariah Kelantan yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan baru baru ini dan beliau mahukan hukuman takzir selaras dengan Islam serta menolak mana mana pembaikan undang undang takzir yang diperkenalkan selagi mana berdasarkan kerangka penjajah.
Comments