Kenyataan perkauman MB Sanusi, AMANAH lapor polis
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Satu laporan polis dibuat terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja.
Laporan itu dibuat Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah Nasional, Ramadhan Lotphi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, petang Sabtu.
"Kenyataan Sanusi yang menyebut “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu” ketika ceramah politik, berpotensi mengundang ketegangan antara kaum.
"Tiada mana-mana individu harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mengeluarkan kenyataan berpotensi menghasut atau menimbulkan ketegangan antara kaum," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kenyataan melampau Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) semasa ceramah perdana BN-PN di Jempol mengundang kecaman ramai.
Kenyataan tersebut bertentangan peruntukan Perlembagan yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, namun pada masa sama menjamin hak semua rakyat sebagai warganegara.
Sementara itu Ramadhan menegaskan, Malaysia adalah tanah air kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama, manakala rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India kekal sebagai warganegara Malaysia, bukannya rakyat negara asal nenek moyang mereka.
"Cubaan menyamakan identiti rakyat Malaysia dengan negara asal nenek moyang mereka adalah naratif mengelirukan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional.
"Pemimpin politik sewajarnya menjadi ejen penyatuan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman ketika kempen pilihanraya," katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan tanpa memilih bulu.




Comments