
Kenyataan-kenyataan di media sosial dan media arus perdana yang dibuat oleh Pemuda Amanah berkenaan kedudukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat hanya memburukkan keadaan.
Bagi aktivis Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman, kenyataan rasmi sepatutnya dikeluarkan oleh Majlis Presiden PH atau sekurangnya merujuk kepada majlis tersebut sebelum dikeluarkan agar tidak mengelirukan penyokong.
"Saya telah meneliti kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan berkait kononnya kegagalan PH untuk merampas kembali kerajaan.
"Saya berpandangan kenyataan seperti ini tidak matang dan hanya mengeruhkan keadaan. Sikap tidak berhati-hati Pemuda Amanah ini boleh menjejaskan hubungan baik sesama komponen PH.
"Keputusan dan strategi berkait urusan untuk mengambil alih semula kerajaan adalah dibuat dan dibincang secara bersama oleh kepimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan (dan perlu dirujuk kepada majlis berkenaan)," katanya.
Menurut Syed Badli lagi, cadangan yang dikemukakan oleh Pemuda Amanah melalui media seolah-olah membelakangkan Majlis Presiden dan tidak menghormati pimpinan PH.
"Cadangan Pemuda Amanah ini seolah-olah memperlekeh seluruh Majlis Presiden sedangkan PH telah membuktikan berjaya menjadi khemah besar kepada keseluruhan pembangkang.
"Sehubungan itu saya mencadangkan Pemuda Amanah menarik balik kenyataan tersebut dan jangan menjadi tangan-tangan ghaib yang akan meruntuhkan perpaduan sesama PH," katanya.
Semalam, tular kenyataan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan yang mempersoalkan strategi merebut Kerajaan Persekutuan yang gagal minggu lalu.
Comentarios