Kenyataan pemimpin Pas konon DAP berkuasa jejaskan Melayu dikecam
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Pemimpin Pas Terengganu yang baru baru ini berteori kononnya jika DAP meraih kuasa - biarpun hampir mustahil - di Malaysia maka hak hak orang Melayu akan terancam, dikecam.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek), Ahmad Nadhir Yob berkata, muat naik ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi di Facebooknya yang mengaitkan pemerintahan PAP di Singapura dengan DAP di Malaysia amat dikesalkan.
Menurut Ahmad Nadhir, ungkapan Dr Tengku Fakhruddin kononnya DAP mampu mengurangkan kekuasaan orang Melayu di negara ini amat terpesong daripada kenyataan.
Tegas beliau, situasi di Singapura biarpun mempunyai artikel tertentu dalam perlembagaan negara yang menyebut hak hak Melayu, namun ianya tidak sama dengan Perlembagaan Persekutuan di Malaysia apabila Raja Raja Melayu di negara ini merupakan pemerintah (the rulers) yang berkuasa menjaga hak hak Melayu. Perlembagaan Singapura, katanya, tidak mempunyai peruntukan sedemikian.
Sehubungan itu, Ahmad Nadhir menasihatkan rakyat Terengganu agar tidak terpengaruh dengan pendapat ADUN Sura berkenaan.
"Intelek Terengganu mengecam permainan setimen politik, agama dan bangsa seperti ini yang sering dimainkan oleh Pas.
"Perkara ini beri kesan buruk kepada masyarakat. Rakyat Terengganu diminta membuka mata, dan hendaklah terus menentang segala kebobrokan yang dilakukan pihak Pas," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam muat naik di Facebooknya, Dr Tengku Fakhruddin mendakwa sekiranya DAP dan sekutunya memperolehi sokongan 2/3 di Parlimen maka kerusi Melayu mungkin dikecilkan dengan mengubah sempadan kawasan pilihanraya; jawatan penting kerajaan seperti Ketua Hakim, Ketua Polis, Panglima Tentera dan sebagainya didakwa akan ditentukan oleh agenda politik parti berkenaan.
Selain itu, peruntukan untuk agama Islam didakwa akan dipotong dan sekolah agama didakwa akan ditekan.
Tulisan itu mendapat kritikan seorang Peguam dan pakar Perlembagaan Persekutuan, Zulqarnain Lukman yang mendakwa kenyataan ADUN Sura itu seolah olah memberi gambaran bahawa kedudukan Raja Raja Melayu boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.
Comments