Kenyataan Mustapha Sakmud dipetik di luar konteks, Sabah dapat peruntukan tertinggi


Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berhubung pembayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah telah dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak Perlembagaan negeri itu dikaitkan dengan sokongan politik terhadap Kerajaan MADANI.
Menjelaskan kekeliruan yang berlaku, Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Farid Sainuri (gambar) berkata, Datuk Mustapha sebenarnya ingin menegaskan tentang kesungguhan pentadbiran Kerajaan MADANI memenuhi keperluan Sabah dengan meningkatkan pembayaran interim hingga mencecah jumlah yang tidak terjangkau selama ini.
Katanya, di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah tersebut meningkat daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta pada 2024 dan kini RM1.5 bilion setahun.
"Peningkatan bayaran interim ini adalah bukti kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah.
"Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik.
"Hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan Pemberian Khas 40% Sabah," katanya.
Ahmad Farid merujuk kepada laporan media bertajuk 'Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan kerajaan Madani yang telah disiarkan di beberapa portal berita tempatan sejak 27 September lalu.
Malah ujar Ahmad Farid lagi, Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukan dan tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40%.
Sebaliknya, beliau berkata ia merupakan bayaran sementara proses menentukan nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan.
"Justeru, persoalan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan bukanlah perkara yang diketepikan.
"Itulah proses utama yang sedang dimuktamadkan antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
"Keutamaan YB Menteri (Mustapha) kekal jelas (iaitu) sebarang hal yang berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan negara," katanya mengakhiri penjelasan berkenaan.




Comments