Kenyataan YDP Pas Sg Buloh senda semangat patriotisme - Saifuddin
- Suara Keadilan
- Jun 26
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Selangor mengecam sekeras-kerasnya kenyataan didakwa berbaur perkauman oleh Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, berhubung pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertama daripada kaum Cina.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata kenyataan itu seolah olah merendahkan tahap profesionalisme dan integriti ATM.
"Kenyataan tersebut melampaui batas dan berunsur hasutan. Ia berpotensi menimbulkan kebencian antara kaum serta melemahkan semangat patriotisme rakyat.
"Apakah wajar kejayaan seorang anak watan yang telah lama berkhidmat demi keselamatan negara disambut dengan sindiran politik yang rasis dan toksik?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Zaharuddin yang juga merupakan menantu kepada Presiden Pas, Hj Hadi Awang memuat naik satu hantaran berbentuk satira di media sosial yang membayangkan kemungkinan pelantikan seorang Perdana Menteri berketurunan Cina menjelang tahun 2058.
Mengiringi hantaran tersebut dikepilkan gambar penganugerahan pangkat kepada Lim, dengan keterangan ia sekadar hiasan.
Bagaimanapun susulan kritikan ramai yang menyifatkan hantaran itu menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) kemudian ianya dipadamkan tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Sementara itu, Saifuddin membidas sikap segelintir pemimpin pembangkang yang kerap mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman semata-mata untuk meraih sokongan politik kaum Melayu.
"KEADILAN Selangor berpendirian bahawa pihak berkuasa tidak boleh berdiam diri. Mana-mana individu yang menyemai sentimen perkauman ekstrem, apatah lagi membabitkan isu keselamatan negara, perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang, termasuk Akta Hasutan dan undang-undang berkaitan jenayah kebencian," tegas beliau.
Tambahnya, naratif politik sempit seperti itu jika terus dibiarkan hanya akan membawa negara ke arah kehancuran akibat rasisme dan ekstremisme yang disemarakkan.
Untuk rekod, Johnny Lim kini memegang jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan telah berkhidmat dalam ATM selama 41 tahun.
Anak jati Melaka itu pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih di PULADA, Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat.
Comentarios