Kenyataan MB Sanusi guris hati masyarakat bukan Melayu - Loke
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Kenyataan didakwa dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada satu ceramah politik baru-baru ini dianggap persendaan kepada warganegara Malaysia berketurunan Cina dan India.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan itu menggambarkan seolah-olah mereka tidak taat kepada negara ini.
"Saya taat kepada Malaysia. Saya warganegara Malaysia. Saya memegang kad pengenalan Malaysia. Saya mengangkat sumpah sebagai menteri di depan Yang di-Pertuan Agong.
"Jadi, apa lagi yang perlu dipersoalkan kesetiaan saya kepada negara? Itu yang saya harap rakyat nilaikan kalau inilah fikiran mereka, inilah minda mereka, ke mana negara akan pergi sekiranya mereka diberikan mandat," katanya dipetik laporan media.
Loke yang juga Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah ditemui pemberita selepas program minum petang @ Sungai Rotan, di Jelebu semalam.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kenyataan provokatif yang mengguris perasaan kaum bukan Melayu tidak sepatutnya dikeluarkan terutama oleh seorang pemimpin.
"Saya rasa orang Melayu pun tak suka kenyataan seperti ini. Negara kita dah merdeka hampir 70 tahun. Orang Cina dan India jadi warganegara sudah bergenerasi.
"Kita sepatutnya meraikan semua rakyat sebagai anak Malaysia walaupun kita ada pelbagai keturunan, pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kita cakap pasal sebuah negara yang bersatu padu," katanya.
Loke sementara itu turut menegaskan parti DAP menghormati dan tidak mempersoal kedudukan orang Melayu seperti mana yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.




Comments