top of page

Kenyataan Koo Ham khilaf, DAP tidak campur urusan agama Islam

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Dec 29, 2023
2 min read


Kenyataan pemimpin DAP Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah merupakan satu kekhilafan dan tidak menepati punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.


Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, kerajaan akan tidak mencampuri urusan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) berkenaan.


"Jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh MKI yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor dan bertujuan untuk menasihati Majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah.


"Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.


"Perlu ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI," katanya dalam satu kenyataan.


Menteri Pengangkutan itu menjelaskan DAP tidak berniat untuk mencampuri urusan MKI dan tidak berniat untuk mencipta polemik 'mengganggu' dalam urusan agama Islam.


"Saya amat sedar bahawa kenyataan Datuk Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.


"Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.


"Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen," katanya.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata DAP kekal komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain bagi menjamin keharmonian antara agama dan kaum di negara ini.


"Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024," katanya lagi.


Semalam, Koo Ham menyarankan Kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.


Ahli Parlimen Beruas itu berkata langkah berkenaan bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.


Jawatankuasa Khas itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah menurut Perlembagaan Persekutuan.


Penubuhannya bagi mengkaji secara mendalam dan kritikal persoalan undang-undang berbangkit, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan.


Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa 10 anggota itu, yang turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh; anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin; dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Datuk Nadzri Abdul Rahman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page