top of page

Kenyataan hina Nabi Muhammad, corak politik lama anti Islam BJP - Nik Nazmi

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jun 8, 2022
  • 1 min read

ree

Kenyataan menghina Nabi Muhammad s.a.w oleh dua pegawai kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India merupakan corak 'politik lama' anti-Islam yang terus menerus diamalkan oleh parti berkenaan.


Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, tindakan dua pegawai kanan itu, Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun dan pastinya akan mencetus sengketa antara agama pada masa akan datang.


"Saya pasti semua rakyat Malaysia yang mempunyai semangat muhibah walaupun apa jua kepercayaan mereka, akan mendapati serangan oleh dua pegawai BJP itu melampau dan tidak boleh diterima.


"Walaupun kedua-dua individu itu telah digantung kerja namun tingkah laku mereka boleh dikatakan sebahagian daripada corak retorik dan tindakan tanduk anti-Islam di pihak BJP," katanya.


Tambah Nik nazmi, rekod BJP yang buruk dalam melayan penganut Islam di India akan menjadi lebih tercemar dengan insiden ini.

ree
Demonstrasi umat Islam di Asia Selatan membantah BJP

Hal itu, katanya tidak akan terpadam biar pun BJP telah meminta maaf dan menyatakan kepada dunia tentang semangat menghormati semua agama.


"Dunia tetap melihat rekod kerajaan BJP yang telah menjadi bencana mutlak bagi kemajmukan India dan reputasinya sebagai sebuah negara pelbagai agama.


"Ini termasuk tindakan kontroversi Akta Kewarganegaraan (Pindaan) dan pembatalan kedudukan khas Jammu dan Kashmir serta penindasan mengerikan warga Islam di sana.


"India wajib menyedari tindakan dan kata-kata pemimpin mereka mempunyai impak jauh melangkaui sempadan mereka. Sikap berhati-hati dan pemikiran yang waras mestilah dipegang jika mereka mahu terus dianggap negara yang bertanggungjawab," kata Nik Nazmi lagi.


Insiden menghina Nabi Muhammad telah menyebabkan berlaku tunjuk perasaan di India, Pakistan dan beberapa negara Islam lain.


Negara negara Arab pula menyatakan bantahan rasmi kepada India serta terdapat pasar raya di negara Teluk yang memboikot produk India daripada dijual di premis mereka.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page