top of page

Kenyataan Hamzah tersasar tersasar dari fakta ekonomi semasa

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Mar 21
  • 2 min read

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Sivamalar Genapathy (gambar) membidas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung isu subsidi diesel.


Menerusi satu kenyataan beliau berkata, kenyataan Hamzah tidak mencerminkan keseluruhan fakta ekonomi semasa dan berpotensi mengelirukan rakyat, khususnya ketika kerajaan melaksanakan penstrukturan semula subsidi bahan api.


Tegasnya, kenyataan tersebut juga mengulangi naratif lama yang bersifat emosional tanpa mengambil kira keperluan reformasi subsidi demi memastikan kemampanan fiskal negara.


"Dakwaan bahawa pelarasan harga diesel akan membebankan rakyat perlu dilihat secara bertanggungjawab.


"Sistem subsidi sebelum ini terdedah kepada ketirisan serius yang menelan berbilion ringgit setiap tahun, selain disalahgunakan melalui aktiviti penyeludupan dan penggunaan oleh pihak yang tidak layak.


"Ketika mereka diberi mandat mentadbir, isu ketirisan ini dibiarkan berlarutan tanpa pembetulan yang tuntas. Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar penting untuk menutup ruang ketirisan serta memastikan subsidi hanya dinikmati golongan benar-benar layak," katanya.


Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 bersubsidi kira-kira RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RON97 kira-kira RM3.85 sebagai langkah melindungi majoriti rakyat, meskipun berdepan tekanan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.


Sementara pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar turut memastikan sektor kritikal seperti logistik, pengangkutan awam dan pertanian terus dilindungi melalui mekanisme khusus yang diperkenalkan kerajaan.


Terdahulu, HAnzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter tidak wajar dilaksanakan ketika ini sebaliknya dicadang ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri atau dibuat secara berperingkat.


Bagaimanapun menurut Sivamalar, cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan reformasi subsidi mungkin kedengaran popular, namun tidak menyelesaikan isu asas dan hanya mencerminkan pendekatan tanpa hala tuju jelas.


"Sekiranya benar mahu membela rakyat, kemukakan pelan mitigasi yang jelas, menyeluruh dan berdaya laksana, bukan sekadar menimbulkan kebimbangan atau membina persepsi sempit," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page