top of page

Kenyataan Hadi rosakkan dakwah Islam, perkecil penganut agama lain – Amidi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa orang bukan Islam tidak mempunyai pegangan nilai merupakan sesuatu yang tidak wajar.


Pengerusinya, Amidi Abdul Manan berkata, kepercayaan terhadap balasan baik (pahala) dan balasan buruk (dosa) sememangnya sebahagian daripada akidah Islam, namun penganut agama lain juga mempunyai pegangan nilai tersendiri yang menjadi panduan kehidupan mereka.


Menurutnya, perbezaan kepercayaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperkecilkan pegangan agama orang lain.


"Bagi yang bukan beragama Islam, mereka juga mempunyai pegangan nilai yang tersendiri dan ia juga mampu untuk mencegah keburukan dan kebinasaan.


"Walaupun pada hakikat sebenarnya wujud perbezaan, namun memperkecilkan pegangan seseorang yang bukan beragama Islam adalah amat dilarang," katanya dalam kenyataan.


Amidi berkata, dakwaan bahawa penganut agama selain Islam cenderung melakukan kezaliman amat dikesali kerana boleh mencetuskan pertembungan serta menjejaskan hubungan sesama manusia.


Beliau turut merujuk pandangan Imam al-Qurtubi ketika mengulas larangan mencela sembahan penganut agama lain seperti terkandung dalam Surah al-An'am ayat 108.


Katanya, larangan itu berkait dengan prinsip saddu zarai' iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kerosakan atau kemudaratan.


"Maka Imam Qurthubi dalam mengulas larangan (mencela sembahan penganut agama lain) al-Quran seperti yang difirmankan dalam Surah al-An'am ayat 108, ia termasuk dalam tindakan saddu zarai," katanya.


Mengulas lanjut, Amidi mendakwa kenyataan Hj Hadi itu telah menyempitkan ruang dakwah Islam demi kepentingan politik tertentu.


Beliau turut menjelaskan bahawa pandangan sarjana tafsir seperti Imam Fakhr al-Razi dan al-Kharki menyentuh pembahagian masyarakat berdasarkan status keagamaan, iaitu Umat Ijabah bagi umat Islam dan Umat Dakwah bagi bukan Islam.


"Kerosakan dari kenyataan Haji Hadi ini terhadap ruang berdakwah tidak boleh dipandang ringan," katanya.


Kelmarin, berucap di pentas Grand Finale BN - PN, Presiden Pas Hj Hadi Awang meminta orang Islam mengundi calon seagama, yang mana perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya “zalim”.


Katanya, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah “orang lain” yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.


"Sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan ini (keluar mengundi) untuk memimpin seluruh manusia.


"Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam," katanya dipetik Malaysiakini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page