top of page

Generasi muda hayati Perlembagaan, tolak perkauman sempit

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
46 minutes ago
2 min read
DS Anwar berucapa di hadapan anak-anak pelatih PLKN pada program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, Kuala Lumpur, petang tadi
DS Anwar berucapa di hadapan anak-anak pelatih PLKN pada program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, Kuala Lumpur, petang tadi

Generasi muda perlu memahami dan menghayati asas Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan bahasa Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu bagi memastikan perpaduan dan keutuhan negara terus terpelihara.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip-prinsip berkenaan merupakan asas kenegaraan yang tetap (thabit) dan tidak boleh dirungkai, selain mengingatkan golongan muda supaya tidak terpengaruh dengan naratif perkauman sempit yang boleh merosakkan keharmonian negara.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, Kuala Lumpur, hari ini.


Program itu merupakan kali pertama Perdana Menteri turun padang berinteraksi secara langsung dengan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak program berkenaan diperkenalkan semula.


Menurut Anwar, asas Perlembagaan yang dibentuk oleh pemimpin terdahulu, termasuk Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, perlu terus difahami dan dihormati oleh setiap generasi.


Beliau turut menegaskan bahawa pembinaan negara bangsa yang kukuh memerlukan sikap saling menghormati dan menghargai kepelbagaian agama serta kaum.


Katanya, rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, justeru setiap individu perlu belajar menghormati kepercayaan serta budaya antara satu sama lain.


"Negara ini mesti terus kekal sebagai sebuah negara yang hebat sekiranya kita belajar untuk saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Ini tanggungjawab saudara-saudara (anak muda)," katanya Anwar


Dalam perkembangan sama, Anwar berkata PLKN diperkasakan melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyuntik semangat idealisme, disiplin serta integriti dalam kalangan generasi muda.


Beliau mengingatkan bahawa negara boleh merosot sekiranya masyarakat membiarkan amalan rasuah menjadi budaya yang diterima, termasuk apabila pemimpin menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan.


Menurutnya, program seperti PLKN penting untuk membina keyakinan anak muda bahawa masa depan negara perlu dipertahankan berasaskan prinsip, idealisme dan nilai amanah.


Anwar turut menegaskan bahawa masyarakat tidak boleh berkompromi dengan sistem yang rosak akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Beliau berharap pelatih PLKN dapat membawa semangat patriotisme, disiplin dan tanggungjawab sebagai asas untuk menjadi generasi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.


Kefahaman terhadap Perlembagaan, sikap saling menghormati dan penolakan rasuah merupakan antara asas penting dalam membina masa depan Malaysia yang bersatu, aman dan berintegriti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page