Kenyataan balas PN kepada Agong angkuh: PM Mahiaddin mesti meletak jawatan - PH


Kenyataan angkuh yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri (PM) petang semalam bahawa pemansuhan Ordinan Darurat dilakukan secara tertib biarpun sebelum itu telah dibidas oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai membelakangkan Baginda, dikecam oleh Pakatan Harapan (PH).


Menurut Majlis Presiden PH, kenyataan PM Mahiaddin Yassin itu jelas menderhakai sistem Raja Berperlembagaan dengan mempertikai titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam kenyataan media Istana Negara, pagi semalam.


"Perkara pokok (dalam kemelut ini) adalah kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen merangkap Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan di dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, yang berkata Kerajaan telah membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai.


"Walau bagaimanapun, kenyataan Istana Negara jelas menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut, dan Takiyuddin telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.


"Oleh itu, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.


"Amat penting dinyatakan bahawa Pemerintah yang telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi taat setia kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin akan bertahan," kata Majlis Presiden.


Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan PN dan seluruh Kabinet yang sebelum ini telah hilang keabsahan kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat kini hilang kelayakan dan kewibawaan sebagai pemimpin apabila gagal melaksanakan titah Agong untuk mengungkaikan Ordinan Darurat di Parlimen.


"Perdana Menteri dan Menteri jelas gagal menjunjung titah Tuanku agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputus untuk diungkaikan di Parlimen


"Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen pula mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan Ahli-Ahli Dewan


"Sebelumnya, Peguam Negara telah gagal menjalankan tugas rasminya untuk memberi nasihat perundangan kepada Seri Paduka Baginda secara neutral dan bebas tanpa memihak kepada PM Tan Sri Mahiaddin Yassin," kata kenyataan itu.


Tambah Majlis Presiden, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebaliknya menambah parah krisis Perlembagaan apabila mempertahankan hak Kerajaan PN untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas setiap Ordinan Darurat untuk dibatalkan dalam sidang Parlimen mulai 26 Julai lalu.


"Sepanjang sidang khas Parlimen ini, Speaker Azhar Azizan Harun telah mempertahankan hak Kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas setiap Ordinan Darurat untuk dibatalkan.


"Lebih mengecewakan, semalam di Parlimen beliau menggunakan pelbagai alasan dan helah untuk mengelak dari perkara tersebut dibahas dan diputuskan dengan menempohkan sidang sebanyak empat kali, termasuk atas alasan semua yang berada di Parlimen perlu menjalani ujian saringan Covid-19 walaupun tidak wujud sebarang kluster Parlimen," kata mereka.


Oleh itu, Majlis Presiden PH mendesak PM Mahiaddin segera berundur untuk mengelakkan krisis lebih teruk melanda negara dan melatkkan jawatan secara terhormat.


"Tiada tindakan lain yang mesti dilakukan oleh Tan Sri Mahiaddin, seluruh Jemaah Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara selain meletakkan jawatan secara terhormat atas kesalahan besar mereka sepertimana yang terkandung di dalam kenyataan Istana Negara semalam, iaitu "permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan"


"Kalau inilah yang diperlakukan oleh Tan Sri Mahiaddin dan Kerajaan PN terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi terhadap rakyat," akhiri mereka.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER