Ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat Malaysia apabila bintang badminton negara Lee Chong Wei dikecam kerana menyumbang dana ke dalam tabung kempen 'Asal Cek Mau Pi Sekolah' kendalian Ahli Parlimen DAP di Pulau Pinang.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Kee Cheong, tindakan Chong Wei sepatutnya dipuji bukannya dikecam sehingga ke tahap gesaan menarik balik gelaran "Datuk" beliau kerana kononnya menyokong DAP.
"Kalau benar sokong DAP pun, tak ada salah. Tapi masalahnya, tindakan Chong Wei bukan kerana politik tapi kerana dia ingin membantu anak-anak kita. Hati saya terasa amat pilu sekali.
"Kita ke hulu ke hilir mencari laptop. Mencari keluarga miskin. Mencari anak-anak yang hendak belajar tapi tak ada peranti. Datang orang yang murah hati macam Chong Wei, kerja kita jadi ringan sedikit.
"Tapi dia buat baik, dia pula dikatakan macam-macam. Adakah adil?" tanya Steven.
Bagi beliau, biar pun mewakili DAP namun laptop yang diberikan kepada pengundi dalam kawasannya tidak pernah dilekatkan logo DAP mahu pun Pakatan Harapan.
Tidak ada pendekatan pujukan politik sama sekali, melainkan mahu semua pelajar-pelajar mendapat kemudahan secukupnya untuk meneruskan pembelajaran pada era Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.
"Saya orang politik. Saya bangga dengan parti saya DAP. Tapi bab bantu rakyat, saya sebagai wakil rakyat tak pernah kaitkan politik kepartian.
"Kita tak tanya pemohon bantuan dia sokong parti mana. Kita tak pernah minta penerima bantuan untuk undi parti sekian-sekian.
"Bila kita beri laptop/tablet, tak lekat logo parti politik. Tak tulis undi DAP, tak suruh sokong Pakatan Harapan. Laptop hanya ada logo syarikat pengeluar, tablet hanya ada cap jenama. Macam mana saya beli dan dapat dari penjual, macam itu juga saya serahkan kepada anak-anak kita.
"Saya ada sertakan sepucuk surat untuk memberi galakkan kepada anak-anak yang menerima peranti, surat itu pun tak ada logo parti politik," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai tidak menyerang bintang sukan negara hanya kerana sifat ingin membantu ketika semua rakyat sedang menghadapi kesusahan.
"Saya kena serang tak apa, lawan tetap lawan... tapi saya sedih Lee Chong Wei, wira kita kena serang semata-mata nak buat kebajikan. Jika ini sikap kita, siapa lagi berani buat kerja amal?
"Saya benar-benar minta maaf dengan Chong Wei," katanya lagi.
Comments